KUFC sokong keputusan MFL tiada lagi perlawanan ditunda

Iklan
Syamsul

KELANTAN United FC (KUFC) menyokong keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bahawa tiada lagi penundaan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 melibatkan pasukan dijangkiti Covid-19.

Ketua Jurulatih KUFC, Syamsul Saad berkata, keputusan berkenaan adalah tepat bagi memastikan setiap pasukan tidak menghadapi jadual perlawanan yang padat selain membolehkan perjalanan liga kembali teratur.

Iklan
Iklan

"Langkah ini juga dapat memastikan semua pasukan kembali serius menjaga pergerakan setiap ahli pasukan masing-masing untuk mengelakkan risiko gagal menurunkan pemain terbaik pasukan bagi setiap perlawanan yang dihadapi kerana dijangkiti Covid-19.

"Perubahan jadual perlawanan yang kerap juga akan menyukarkan para jurulatih mengatur pelbagai program termasuk sesi latihan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Iklan

Pada Ahad lepas (3 April), MFL memutuskan prosedur operasi standard (SOP) baharu perlawanan Liga M 2022, dengan tiada lagi penundaan perlawanan melibatkan pasukan dijangkiti Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam dilapor berkata, SOP baharu itu penting dalam memastikan kelancaran Liga-M 2022, apabila pasukan bakal mengharungi jadual agak padat sekiranya kelonggaran untuk pasukan memohon penundaan perlawanan akibat kes Covid-19, terus dipraktikkan. - Bernama

Iklan