Hamas beri amaran kepada Israel

Iklan
Tentera Israel mengasari penduduk Palestin di Pintu Damsyik ketika persediaan berbuka puasa. - Foto AFP

BAITULMAQDIS - Hamas memberi amaran kepada rejim Zionis supaya menghentikan segera tindakan kekerasan terhadap rakyat Palestin di Baitulmaqdis Timur, terutamanya umat Islam yang berkumpul di pekarangan Masjid al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan.

Pegawai kanan Hamas, Ismail Rezvan berkata, pihak berkuasa Israel sepatutnya berhenti 'menguji kesabaran' barisan penentang dan penduduk Palestin yang semakin menipis atau berhadapan tindakan balas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas serangan tentera Israel terhadap penduduk Palestin yang berkumpul di Bab al-Amoud atau Pintu Damsyik sebagai persediaan untuk berbuka puasa selama tiga malam berturut-turut.

Pintu Damsyik adalah salah satu pintu masuk utama ke Kota Lama Baitulmaqdis yang digunakan umat Islam untuk menyambut Ramadan.

Iklan

Sejak awal Ramadan, tentera Israel bertindak memukul serta menahan puluhan penduduk termasuk remaja Palestin serta mengganggu kelancaran solat tarawih di kawasan sama.

"Kami menggesa pihak dan orang tengah untuk menghentikan jenayah rejim Zionis.

Iklan

"Puak penentang tidak akan berdiam diri sekiranya keganasan tentera Israel berterusan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Israel melarang lelaki Palestin yang berusia antara 12 dan 40 tahun daripada memasuki Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat ketika Ramadan.

Sebaliknya hanya wanita Palestin, kanak-kanak bawah usia 12 tahun dan lelaki berumur lebih 50 tahun dibenarkan memasuki masjid berkenaan sekiranya mahu menunaikan solat. - Agensi