Jual air balang RM1 sebungkus sejak 26 tahun lalu

Iklan
Norazian jual air balang hanya RM1 sebungkus masih mampu meraih keuntungan dan percaya dengan kekuatan pada rezeki. Foto Bernama

BUKIT MERTAJAM - Ketika keresahan orang ramai memikirkan peningkatan harga barang yang semakin mendadak sekarang ini, seorang peniaga di Bazar Ramadan Masjid Perda, di sini nekad menjual air balang dengan harga RM1 sebungkus, harga sama yang ditetapkannya sejak 26 tahun lepas.

Norazian Sabri, 57, berkata walaupun harga air balang yang dijual itu hanya RM1 sebungkus berbanding peniaga lain iaitu antara RM2 hingga RM3, beliau masih mampu meraih keuntungan, dan beliau percaya dengan kekuatan yang ada pada rezeki.

Iklan
Iklan

"Kalau bulan puasa memang saya berniaga di bazar Ramadan di sini (Bazar Ramadan Masjid Perda) dan menjual 11 balang air pelbagai perisa antaranya bandung, limau asam boi, mata kucing, laici dan juga jus buah-buahan seperti tembikai dan oren, bulan biasa saya berniaga di Pantai Bersih, Butterworth.

"Harga yang saya jual masih sama seperti 26 tahun lepas iaitu RM1, Alhamdulillah ada untungnya, dan harga murah ini juga sebenarnya antara salah satu cara kami beramal jariah serta berkongsi rezeki dengan orang lain," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Masjid Perda di sini, pada Rabu.

Iklan

"Bukan baru sehari dua saya berniaga tapi dah lebih 26 tahun jadi saya percaya tidak semua berkemampuan untuk membeli dengan harga mahal dengan ketika ini boleh dikatakan banyak barang harga meningkat, jadi dengan harga air RM1 ini secara tidak langsung membantu pengguna juga," katanya yang berniaga bersama suaminya Zainal Abidin Idris, 58.

Katanya, setiap balang air boleh menghasilkan sehingga 50 bungkus air dan setakat ini boleh dikatakan setiap hari jualannya mendapat permintaan daripada orang ramai di situ.

Iklan

"Saya akan terus kekalkan dengan harga RM1 sebungkus, kerana saya percaya pada rezeki, Alhamdulillah ada keuntungannya cuma mungkin tidak banyak seperti peniaga lain.. saya gembira dapat jual dengan harga ini, malah kami turut menjaga kualiti setiap air yang dibancuh dalam balang," katanya.

Sementara itu seorang pelanggan Norhasfizah Mustafa, 35, berkata, air balang dijual Norazian memang pilihan beliau sekeluarga kerana ia dijual dengan harga yang murah berbanding peniaga lain dalam masa sama masih mengekalkan rasa yang sedap.

"Kalau di gerai ini kami boleh beli air untuk setiap seorang mengikut perisa pilihan masing-masing, iaitu saya dan suami serta tiga anak untuk kami berbuka puasa. Rasa air juga sedap dan setanding dengan air balang peniaga lain," katanya. - Bernama