Thailand tahan 40 warga Myanmar cuba seludup masuk ke Malaysia

Iklan
Pendatang tanpa izin Myanmar bersembunyi di ladang getah di Songkhla ditangkap, pada Rabu. Foto Bangkok Post

SONGKHLA - Pihak berkuasa tempatan Thailand menahan 40 warga Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke Malaysia di Sadao, Songkhla, berdekatan sempadan Thailand.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi (waktu tempatan), pihak berkuasa menahan 31 lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar yang bersembunyi di sebuah ladang getah di Samnak Kham yang berdekatan sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sadao, Kolonel Bantern Laochareng berkata, kumpulan warga Myanmar itu dipercayai dibawa orang tengah dari Myanmar ke Thailand dengan menaiki perahu melalui Ranong pada 31 Mac.

"Mereka dibawa ke sempadan Thailand-Malaysia sementara menunggu untuk menyusup masuk ke Pulau Pinang, Malaysia malam Selasa.

Iklan

"Siasatan awal mendapati mereka perlu membayar 60,000 baht (RM7,540) seorang untuk masuk ke Malaysia, pembayaran 30,000 baht dilakukan sebelum perjalanan dan 30,000 baht lagi dibayar setelah tiba dan mula bekerja di Malaysia,” katanya dalam satu sidang media pada Rabu.

Katanya, polis sedang menjejaki empat lagi individu - seorang rakyat tempatan dan tiga warga Myanmar yang dipercayai telah meloloskan diri. - Bernama

Iklan