MALAYSIA terpaksa pulang awal selepas gagal menyambar slot separuh akhir Kejuaraan Futsal AFF 2022 apabila tewas 2-4 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok pada Rabu.
Tampil dengan misi memburu tiga mata penuh, rentak permainan Malaysia wajar diberi pujian apabila tidak memberikan laluan mudah kepada tuan rumah untuk mencipta kemenangan.
Barisan pemain negara membuktikan semangat juang tinggi terutamanya ketika bertahan tatkala ramai yang menjangkakan Thailand akan mudah meraih kemenangan pada perlawanan di hadapan penyokong sendiri.
Thailand yang memberikan tekanan hebat sejak awal permainan membuka tirai jaringan pada minit ketujuh selepas Tanapol Maneepetch menyudahkan lorongan Kritsada Wongkeao.
Thailand terus menggandakan asakan bagi menambah jaringan, namun penjaga gol skuad negara, Syawal Sabaruddin tangkas dalam menghalang gawangnya daripada dibolosi.Skuad negara turut mencipta beberapa peluang terbaik bagi merobek gawang tuan rumah tetapi dinafikan penjaga gol Thailand, Katawut Hankampa.
Bagaimanapun, kehampaan itu ditebus Muhammad Farhan Khairul Anuar yang berjaya meledak gol pertama Malaysia selepas menyudahkan hantaran Ekmal Shahrin pada minit ke-12.
Farhan sekali lagi menggegar gawang Thailand apabila bijak menolak masuk bola susulan menerima lorongan cantik daripada Ekmal pada minit ke-27.
Namun, kelebihan itu hanya mampu bertahan dua minit apabila Sarawut Phalaphruek kembali menyamakan kedudukan menerusi percubaan leret ketika Syawal sudah keluar daripada posisinya.
Jaringan itu ternyata menyemarakkan lagi semangat Thailand untuk menambah jaringan dan ia membuahkan hasil apabila Sarawut sekali lagi merobek gawang Malaysia.
Langkah pengendali negara, Chiew Chun Yong dalam menerapkan taktikal powerplay untuk memburu jaringan penyamaan dilihat memakan diri selepas kesilapan Azwann Ismail yang gagal mengawal bola dengan baik memberikan ruang buat Kritsada menambah jaringan keempat Thailand.
Kedudukan 4-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan Thailand mengakhiri peringkat awal sebagai juara kumpulan bagi menempah pertemuan dengan Vietnam manakala satu lagi aksi separuh akhir menemukan Myanmar dan Indonesia.