Rekod kebal KL City di laman sendiri musnah

Iklan
Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi diasak pemain KL City, Kenny Pallraj Davaragi pada saingan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebentar tadi.

[DIKEMAS KINI] Rekod kebal 23 perlawanan tanpa kalah Kuala Lumpur (KL) City di laman sendiri akhirnya musnah selepas tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, pasukan pelawat berjaya membuka tirai jaringan melalui penyerang sensasi mereka, Fernando Forestiri pada minit ke-17 selepas bijak menyudahkan hantaran lambung pemain pertahanan, Syahmi Safari.

Iklan
Iklan

JDT kemudiannya terus mengasak ke kubu melalui Bergson da Silva pada minit ke-30, namun situasi satu lawan satu itu berjaya diselamatkan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza sekaligus kedudukan 0-1 kekal hingga tamat separuh mata pertama.

Memasuki babak kedua, KL City cuba memperkemaskan corak permainan apabila mengatur beberapa serangan awal kearah kubu lawan namun gagal untuk membolosi barisan pertahanan JDT.

Iklan

Nasib malang menimpa skuad warga kota apabila pemain tengahnya, Kenny Pallraj dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas didapati mengasari pemain tengah JDT, Leandro Velazquez.

Bagai jatuh ditimpa tangga, gawang gol KL City sekali lagi dibolosi melalui sepakan penalti Bergson pada minit ke-81 untuk meletakkan pelawat selesa dihadapan.

Iklan

KL City terus dihukum pada minit akhir perlawanan apabila Bergson sekali lagi memahat nama sebagai penjaring sekali gus menyaksikan kedudukan 3-0 kekal hingga wisel penamat.

Kemenangan tersebut menyaksikan JDT kekal sebagai pendahulu liga dengan mengutip sembilan mata penuh dalam tiga perlawanan.