'Jangan lengahkan lagi pembentangan RUU Anti Lompat Parti'

Iklan
Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak supaya pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti tidak ditangguhkan lagi dan perlu disegerakan.

Ini kerana katanya, UMNO adalah parti paling terkesan apabila terdapat ahli Parlimennya yang melompat parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Iklan
Iklan

"Dilaporkan dalam media bahawa kerajaan tidak akan meneruskan rancangan untuk membentang dan meluluskan RUU pindaan perlembagaan yang bertujuan untuk menghalang ahli Parlimen daripada lompat parti.

"Dikatakan juga kabinet hari ini memutuskan untuk membentangkan RUU bagi meminda beberapa bahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang akan membolehkan perundangan ‘antilompat’ di masa akan datang.

Iklan

"Justeru, dengan kata lain, perundangan ‘antilompat’ akan mengambil masa yang panjang, berdepan risiko ditangguh untuk sekian kali.

"Kelewatan ini seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk digubal, bahas dan diluluskan. Adakah terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan ini?" soalnya dalam catatan di Facebooknya pada Rabu.

Iklan

Tambahnya, penangguhan untuk membentangkan RUU itu juga akan mengecewakan rakyat yang sudah lama menanti undang-undang tersebut dilaksanakan.

Ahmad Zahid dalam masa sama turut menegaskan bahawa persefahaman kerajaan sedia ada di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH) perlu dinilai semula kerana dilihat kurang tegas dalam usaha untuk mempercepatkan membentang dan meluluskan undang-undang ini.

"Sudah pasti ini juga satu tamparan hebat terhadap PH yang membuat persefahaman dengan kerajaan yang sebenarnya bimbang tak mampu dan tak bersedia berdepan PRU jika Parlimen dibubarkan.

"Kini sudah tiba masanya UMNO dalam kerajaan lebih tegas menangani isu ini sebelum menambahkan lagi kemarahan yang mahu undang-undang lompat parti disegerakan,” katanya.

Media pada Rabu melaporkan kabinet tidak bersetuju dengan cadangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.