SEHARI dua ini tular kisah seorang guru tidak membenarkan murid sekolah rendah berusia sekitar tujuh tahun berbuka kerana tidak larat untuk meneruskan puasa.
Selain tidak dibenarkan berbuka puasa, hantaran di media sosial Facebook itu juga mendakwa makanan dan minuman yang dibekalkan diambil dan hanya dipulangkan selepas tamat waktu sekolah dengan pesanan agar murid berkenaan meneruskan puasa.
Yang menarik perhatian Merak Jalanan adalah kata-kata yang diungkapkan oleh murid tersebut iaitu sesiapa tidak berpuasa akan ditegur di hadapan rakan sekelas dan turut ditertawakan.
Murid itu juga berkata bahawa dia benci berpuasa, benci sekolah, benci kawan-kawan dan tidak lagi mahu berpuasa serta bersekolah disebabkan perkara tersebut.
Walaupun tidak diketahui kesahihan kisah berkenaan tetapi apabila bercakap tentang mengajar dan mendidik kanak-kanak untuk melakukan ibadat, sepatutnya elemen memujuk itu perlu ada.
Jangan pula kita mahu mengajar mereka sehingga menghukum atau lebih teruk membawa kepada penderaan mental.
Mungkin ada terlepas pandang bahawa syarat wajib puasa adalah akil baligh dan pada usia seawal tujuh tahun, penekanan utama bagi keluarga Islam adalah tentang mengajar dan membetulkan solat mereka.
Tidak ada salahnya mengajar anak-anak berpuasa tetapi jangan sampai membawa kepada mudarat dan lebih teruk boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
Dalam isu murid tidak dibenarkan berbuka puasa, tidak kira ibu bapa atau guru sepatutnya lebih peka dengan keadaan kanak-kanak kerana ketahanan perut mereka tidak sama seperti orang dewasa.
Bagi ibu bapa, pastikan sediakan makanan penuh khasiat kepada anak-anak sewaktu bersahur jika benar-benar mahu berpuasa penuh dan bagi guru pula perlu ada kompromi sama ada bawa murid tersebut berbuka di mana-mana bilik yang tidak dapat dilihat oleh rakan sekelas.