SEPANG - Perbuatan ejek-mengejek dipercayai menjadi punca insiden pergaduhan sekumpulan pelajar sekolah menengah di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian bermula apabila seorang pelajar Tingkatan Tiga diejek oleh seorang pelajar Tingkatan Empat semasa waktu rehat pada jam 10.30 pagi.
"Pelajar berusia 15 tahun itu telah hilang sabar lalu menolak pelajar berusia 16 tahun tersebut.
"Pelajar Tingkatan Empat itu kemudian telah menumbuk di bahagian muka pelajar Tingkatan Tiga, namun tumbukan itu hanya terkena sedikit, lalu berlaku tolak menolak di antara sekumpulan pelajar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Wan Kamarul Azran berkata, sekumpulan pelajar itu juga membuat provokasi antara satu sama lain, namun insiden itu berjaya disuraikan oleh guru-guru yang berada di lokasi kejadian.
"Hasil pemeriksaan awal, tiada kecederaan terhadap semua pelajar yang terlibat dan mereka mengakui kesalahan," katanya.
Beliau berkata, kesemua pelajar telah berdamai dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
"Pengetua dan pihak sekolah juga tidak membuat apa-apa laporan polis memandangkan kejadian tersebut tidak melibatkan kecederaan dan mereka akan mengambil tindakan disiplin ke atas semua pelajar yang terlibat," katanya.
Wan Kamarul Azran berkata, seorang Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 11.05 pagi.
"Pegawai berkenaan telah berjumpa dengan pengetua bersama beberapa orang guru di bilik pengetua sekolah itu.
"Pegawai berkenaan turut memberi nasihat dan amaran kepada tujuh pelajar yang disyaki terlibat dalam pergaduhan tersebut," katanya.