KOTA BHARU - Polis mengenal pasti dua daerah di sempadan Malaysia - Thailand di negeri ini yang menjadi laluan kepada aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api ke negara ini sempena musim perayaan Aidilfitri.
Daerah terbabit ialah Pasir Mas dan Tumpat yang kini dipantau pasukan polis bagi mengekang kegiatan itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, penguatkuasaan dan sistem kawalan sedia ada di dua lokasi tersebut turut diperketatkan.
"Tumpat dan Pasir Mas dipercayai laluan yang mudah bagi penyeludup, tetapi ada pasukan pemantau yang ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu di dua daerah itu.
"Selainnya, rondaan dan pengawalan di daerah-daerah terbabit dipertingkatkan melalui Unit K9, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar PDRM bersama Media Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini pada Rabu.
Shafien berkata, faktor permintaan yang tinggi terhadap mercun dan bunga api menjelang musim perayaan Aidilfitri pada Mei ini menyebabkan berlaku kegiatan penyeludupan barangan terlarang tersebut dari negara jiran.
"Ketika ini, peniaga akan cuba sedaya upaya membawa masuk mercun dan bunga api untuk mendapatkan keuntungan yang dianggarkan dua kali ganda namun kegiatan mereka berjaya dipatahkan daripada bolos keluar dari Kelantan.
"Tahun lepas tidak ada rampasan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 manakala tahun ini awal lagi sudah ada rampasan mercun dan bunga api yang diseludup dari negara jiran oleh PGA yang dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya.
Sehubungan itu beliau mengingatkan supaya peniaga mercun atau bunga api mematuhi undang-undang dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis Kelantan menerima sembilan permohonan permit untuk berniaga mercun dan bunga api sempena Ramadan di negeri ini dan masih dalam proses untuk dipertimbangkan merangkumi syarat-syarat yang ditetapkan seperti mempunyai tempat penyimpanan yang selamat.
Shafien sebelum itu turun padang bagi mengadakan pemantauan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh peniaga dan pengunjung di bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
"Keadaan bazar agak sesak namun orang ramai mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka, namun mereka dinasihatkan mengambil langkah bijak dalam mengekang penularan jangkitan.
"Pihak urusetia bazar tersebut iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan pula mengambil langkah memasang pita bagi laluan keluar masuk dan secara berterusan memberikan peringatan dengan menggunakan pembesar suara berhubung langkah pencegahan bagi mengelak penularan Covid-19,” katanya.