KUALA KRAI - Polis daerah ini akan meningkatkan lagi rondaan di bazar-bazar Ramadan bagi memantau aktiviti penjualan mercun dan bunga api yang menyalahi peraturan serta pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, pemantauan itu selari dengan saranan pucuk pimpinan tertinggi pasukan di peringkat negeri dan negara.
"Setakat ini, tiada lagi aktiviti penjualan mercun dan bunga api dikesan di bazar-bazar Ramadan di daerah ini.
"Bagaimanapun pemantauan akan dilakukan dari masa ke masa dan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti ini," katanya semasa turun padang memantau pematuhan SOP di bazar Ramahan Dataran Peladang Kuala Krai dan Batu Jong di sini pada Rabu.
Operasi itu turut disertai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Daerah Kuala Krai.
Menurutnya, polis juga mengingatkan orang ramai supaya terus kekal patuh dengan SOP walaupun negara dalam fasa peralihan endemik.
Katanya, fasa peralihan endemik bukan tiket untuk rakyat tidak patuh kepada SOP dalam mencegah penularan jangkitan Covid-19.
"Secara keseluruhan hasil pemantauan yang dilakukan kami dapati semua pengunjung dan peniaga mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berwajib," katanya.