Mercun, bunga api bernilai RM254,616 dirampas

Iklan
Sejumlah 81 kotak mercun yang dipercayai diseludup dari Thailand bertujuan dibawa ke Johor sempena perayaan Aidilfitri.
BACHOK - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas mercun serta bunga api yang bernilai RM254,616 Kampung Cabang 3, Bukit Kechil, Gunong, di sini pada Rabu.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Batalion 7 PGA pada 12.30 tengah hari.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azahari Nusi berkata, suspek lelaki berusia 33 tahun berkenaan mengaku sebagai penyewa premis perniagaan yang diserbu terbabit.

Iklan
Iklan

Katanya, bertindak atas maklumat penyeludupan mercun, pasukan PGA membuat pemerhatian terhadap premis perniagaan yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan mercun di Kampung Cabang 3, Bukit Kechil, Gunong, di sini.

"Semasa pemerhatian dijalankan, PGA berjaya menahan seorang lelaki warganegara Malaysia yang mengaku sebagai penyewa premis tersebut.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut di dalam premis berkenaan, PGA menjumpai 81 kotak dan 21 guni berisi pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM254,616,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, siasatan awal PGA mendapati mercun berkenaan akan dipasarkan di Johor dengan proses penghantaran akan menggunakan lori.

Iklan

"Mercun dipercayai dibawa masuk dari negara jiran Thailand melalui pangkalan haram dan diangkut dalam kuantiti yang kecil dengan menggunakan kereta bagi memudahkan pergerakan serta mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Bachok untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.