Warga Singapura masih belum bayar 108,757 saman trafik

Iklan
Sebanyak 108,757 daripada jumlah saman yang dikeluarkan kepada warga Singapura masih belum dijelaskan. - Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mat Kasim)

SHAH ALAM - Sebanyak 143,427 saman trafik melibatkan warga Singapura dikeluarkan sejak tahun 2016 hingga 2021 dan 108,757 atau 75.9 peratus daripada jumlah tersebut masih belum dijelaskan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, kekangan untuk menghantar notis saman Pol.170A (saman tidak bersemuka) berikutan ketiadaan alamat pesalah trafik terbabit merupakan faktor utama isu tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesalahan yang paling kerap dilakukan oleh pemandu dari negara jiran tersebut adalah memandu melebihi had laju.

"Antara kesalahan yang sering dikesan adalah potong 'queue' berjumlah 3,952 saman, abai isyarat lalu lintas (1,387), kesalahan berkaitan tidak memakai tali pinggang keledar (1,327) dan tidak mematuhi lampu isyarat sebanyak 765 saman.

Iklan

"Antara kesalahan lain ialah nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, kemalangan, halangan lalu lintas, lampu brek dan sebagainya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, terdapat juga kemungkinan kenderaan yang disaman terbabit telah dilupuskan berikutan undang-undang Singapura yang melupuskan setiap kenderaan berusia lima tahun.

Iklan

Mat Kasim menegaskan, isu saman tertunggak membabitkan warga Singapura berkenaan bukan disebabkan kelemahan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya melibatkan kekangan tersebut.

Katanya, PDRM menerusi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mengadakan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) sepanjang tahun untuk mengesan dan mengenakan tindakan sewajarnya terhadap pesalah trafik melibatkan warga Singapura.

"Bagi tahun 2016 saman yang belum dijelaskan berjumlah 21,452, 2017 (19,275), 2018 (30,946), 2019 (24,846), 2020 (12,128) dan 2021 sebanyak 110 saman," katanya.