PGA Sibu rampas mercun, bunga api RM150,000

Iklan
PGA merampas 357 kotak pelbagai jenama mercun dan bunga api dalam serbuan di sebuah premis pada 11.45 pagi Rabu.

SIBU - Cawangan Risik Batalion 10 Pasukan Gerakan Am Sibu merampas 357 kotak pelbagai jenama mercun dan bunga api dalam serbuan ke sebuah premis di Lorong Ding Lik Kong 31A4 di sini pada 11.45 pagi Rabu.

Pegawai Pemerintah Batalion 10 Superintendan Mohammad Hafiz Kadir berkata, barangan kontraban bernilai keseluruhan RM150,500 itu telah dibawa dari Bintulu dengan menggunakan jalan darat dan dipercayai untuk dijual di sekitar Sibu dan daerah berdekatan sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Gawai yang akan datang.

Iklan
Iklan

"Seorang lelaki warga tempatan yang berada di lokasi serbuan ditahan untuk siasatan,” katanya dalam dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Menurut beliau, suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM 10,000.00 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Iklan

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak Januari hingga bulan lepas, Batalion 10 PGA Sibu telah menahan seramai 13 suspek dan berjaya merampas pelbagai barangan termasuk rokok dan minuman keras jenis bir tanpa cukai, kayu balak dan minyak diesel bersubsidi dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM3.3 juta.

Mohammad Hafiz menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban di pasaran melalui talian hotline 084-211411 pejabat Risik Batalion 10 PGA Sibu. - Bernama

Iklan