PASIR MAS - Seorang lelaki bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kereta jenis Proton Waja yang sarat membawa 380 kotak mercun seludup dari negara jiran di tepi jalan Kampung Tasek Berangan di sini selepas dikejar polis pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, semasa melakukan rondaan kira-kira jam 7.55 pagi, sepasukan anggota bertugas telah melihat sebuah Proton Waja yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari simpang tiga Kampung Jejawi menuju ke Kampung Repek.
Iklan
Iklan
"Anggota bertugas kemudian mengarahkan pemandu Proton Waja itu untuk berhenti, namun lelaki berkenaan bertindak memecut laju sejauh dua kilometer dan berhenti secara mengejut di jalan Kampung Tasek Berangan.
"Pemandu tersebut kemudian keluar dari kereta berkenaan dan melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan gagal dikesan oleh polis," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta tersebut menemui sejumlah 380 kotak mercun bertulisan Thailand dipercayai di seludup dari negara jiran.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan Dan Kakisan 1957.
Artikel Berkaitan