Lelaki ceroboh Hutan Simpan Rotan Tunggal ditahan, 3 jentera disita

Iklan
Jentolak yang disita JPNP selepas ditemukan di dalam Hutan Simpan Rotan Tunggal, Raub pada Rabu. - Foto Ihsan JPNP

KUANTAN - Seorang lelaki ditahan dan tiga jentera berat dirampas dalam satu operasi yang dijalankan oleh Unit Penguat kuasa Pahang Barat (UPKPB), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Hutan Simpan Rotan Tunggal, Raub pada Rabu.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Barat) JPNP, Shahril Mohamad berkata, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu ditahan selepas mengaku jentera yang ditempatkan di kawasan hutan itu adalah miliknya.

Iklan
Iklan

"Susulan daripada pengakuan itu, kita telah menahan lelaki terbabit bagi tujuan siasatan dan laporan polis dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah Raub.

"Selepas siasatan dijalankan, lelaki yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis manakala tiga jentera yang terdiri daripada satu unit jentolak dan dua unit jengkaut dipercayai digunakan untuk membersih kawasan hutan serta membina jalan di hutan itu turut disita," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Selain itu, Shahril berkata, pihaknya turut menemui tiga batang kayu jaras spesies Chengal dipercayai digunakan oleh sindiket yang menceroboh kawasan hutan terbabit.

Shahril tidak menolak dakwaan bahawa kegiatan menceroboh Hutan Simpan Rotan Tunggal dipercayai untuk dijadikan ladang kelapa sawit.

Iklan

Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti dalang utama kegiatan berkenaan bagi tujuan pendakwaan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh hutan simpan di negeri ini, tindakan undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 menanti pesalah," katanya.