KUALA LUMPUR - Penduduk di flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, resah apabila ada antara mereka telah diarah mengosongkan kediaman.
Arahan tanpa tarikh khusus pengosongan itu dikeluarkan menerusi surat rasmi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertarikh 21 Mac.
Penduduk, Hashim Mohd Salleh, 63, yang juga mengusahakan perniagaan katering di kawasan itu berkata, sangat terkejut sebaik menerima notis pengosongan kira-kira seminggu sebelum Ramadan.
"Kami dapat surat itu sebelum puasa dan bila saya baca surat ini yang mengatakan kami perlu mengosongkan rumah, saya terperanjat, gusar dan amat sedih sebaik mengetahui isi surat itu.
"Hendak cari rumah di Kampung Baru sudah pastinya sukar, lebih sukar dengan keadaan sekarang, dalam bulan puasa serta kita juga akan menyambut Hari Raya, ke mana kami mahu tuju.
"Ketika ini kami amat tersepit antara berpindah atau terus tinggal di sini kerana tarikh khusus tidak diberikan sebaliknya hanya arahan pengosongan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sehubungan itu, bapa enam anak itu memohon pihak terbabit supaya dapat memberi tempoh masa lebih panjang atau tarikh yang khusus untuk mereka berpindah dan bukan dengan arahan yang tergantung.
"Sudahlah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun setengah saya tiada pendapatan kerana bisnes katering tidak beroperasi dan sekarang lebih kecewa kerana mahu diusir.
"Kami terpaksa berjuang sendiri dalam keadaan sekarang. Benar kami menerima sejumlah wang tetapi itu bukan dengan kemahuan kami, kami terima agar ia tidak diserahkan ke Baitulmal," katanya.
Penduduk rumah flat PKNS itu dikatakan, mendapat keputusan nilai pampasan antara RM200,000 hingga RM250,000 walaupun menuntut jumlah pampasan yang lebih tinggi kerana faktor semasa.
Sementara itu, menurut rakan Hashim, Anuar Ahmad, 60, bukan semua penduduk menerima notis pengosongan kediaman kerana setiap penduduk melalui proses penerimaan notis yang berbeza.
"Saya baru menerima wang pampasan sebanyak RM244,660 pada 30 Mac lalu dan seperti kata Hashim kalau kita tidak terima wang ini akan diberikan kepada pihak Baitulmal.
"Kami tiada pilihan dan saya menjangkakan akan diberikan notis pengosongan kediaman menjelang Syawal ini kerana Hashim menerima notis selepas sebulan menerima wang pampasan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk enggan namanya dikenali berkata, keluarganya tidak menerima sebarang notis kerana bersetuju untuk berpindah tanpa sebarang bantahan sebelum ini.
Isu pengambilan tanah Kampung Baru kembali hangat apabila kerajaan didakwa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) di kawasan 'segi tiga' emas di ibu kota itu untuk dimajukan.
Rancangan pembangunan semula itu meliputi kawasan penduduk yang mendiami dua jenis kediaman, iaitu flat PKNS dan rumah di tanah persendirian.
Difahamkan, sebanyak 70 peratus pemilik di kawasan terbabit didakwa bersetuju dengan pembangunan semula kawasan berkenaan dan memberikan tandatangan.
Pada Ogos lalu, beberapa penduduk yang belum menurunkan tandatangan dilaporkan menerima notis siasatan mengikut Borang F, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang diminta hadir secara bergilir pada 23 hingga 26 Ogos lalu untuk diambil keterangan penilaian oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Penduduk rumah flat PKNS itu dikatakan, mendapat keputusan nilai pampasan antara RM200,000 hingga RM250,000.