Jin Wei mara ke suku akhir Terbuka Korea

Iklan
Jin Wei mara ke suku akhir Terbuka Korea di Suncheon pada Khamis. - Foto Badminton Association of Malaysia (BAM)

[DIKEMAS KINI] BEKAS juara remaja dunia, Goh Jin Wei meneruskan perjuangan selepas berjaya melangkah ke suku akhir Kejuaraan Terbuka Korea di Suncheon pada Khamis.

Jin Wei, yang ketika ini berada di ranking 128 terbaik dunia, menundukkan pemain nombor 187 dunia dari Korea Selatan, Lee Se Yeon, 21-17, 17-21, 21-12 dalam pertarungan selama 57 minit pada pusingan kedua di Stadium Palma.

Iklan
Iklan

Dia yang kali terakhir menyertai pertandingan pada Jun lalu, akan menentang Kim Gaeun selepas pemain tuan rumah itu membuat kejutan besar dalam kejohanan kali ini apabila menyingkirkan juara Olimpik, Chen Yu Fei dari China, 21-17, 21-19.

Sementara itu, dua beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Ong Yew Sin-Goh Liu Ying berpeluang untuk merebut empat tempat terakhir apabila mereka turut layak ke suku akhir.

Iklan

Kian Meng-Pei Jing, berstatus pilihan kedua menyingkirkan pasangan bukan pilihan tuan rumah, Na Sung Seung-Kim Min Ji, 21-11, 21-9, manakala Yew Sin-Liu Ying yang juga pilihan pertama, mara setelah Seo Seungjae-Chae Yujung dari Korea Selatan menarik diri daripada perlawanan pusingan kedua.

Kian Meng-Pei Jing akan berdepan pilihan kelima, Ou Xuan Yi-Huang Ya Qiong selepas pasangan dari China itu melepasi halangan pusingan kedua menentang beregu India, B Sumeeth-Ashwini Ponnappa dalam set penentuan, 22-20, 18-21, 21-14, manakala Yew Sin-Liu Ying akan menentang pasangan tuan rumah, Kim WonHo-Jeong Na Eun.

Iklan

WonHo-Na Eun, yang merupakan beregu bukan pilihan, terdahulu menang ke atas pilihan kelapan dari Singapura, Hee Yong Kai Terry-Tan Wei Han, 19-21, 21-18, 21-12.

Bagaimanapun, pilihan ketiga, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas mengejut di tangan pasangan bukan pilihan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, dalam straight set, 21-15, 23-21.

Sementara itu, pemain profesional perseorangan lelaki, Cheam June Wei gagal mengatasi Weng Hong Yang dari China selepas tewas 14-21, 21-17, 17-21.