SHAH ALAM - Padah gagal lapor kes rasuah bernilai RM5,000 tujuh tahun lalu, seorang bekas eksekutif Niaga Tani di sebuah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di sini, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Mohd Jazid Jani, 52, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Jika gagal membayar denda, dia dikehendaki untuk menjalani hukuman penjara enam bulan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai Eksekutif Niaga Tani di PPK Klang telah diberikan suapan iaitu cek tunai Public Bank berjumlah RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 55 tahun.
Ia sebagai dorongan kepada tertuduh untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja-kerja pembekalan baja cecair organik sebanyak 5,000 liter bagi input pertanian PPK Klang, bernilai RM143,100 di BS 8 Bukit Sentosa pada 21 Julai 2015 lalu.
Perbuatan itu telah melanggar peruntukan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan tertuduh tidak melaporkan pemberian suapan tersebut kepada pihak SPRM atau polis.
Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab Fadhli Ab Wahab dan Noryusriza Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.