Dokumen, barangan peribadi musnah dalam kebakaran gudang

Iklan
Pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran gudang menyimpan makanan.

MELAKA - Seorang pelajar yang menjalani latihan industri di sebuah gudang penyimpanan makanan berputih mata apabila barangan peribadinya musnah dalam kebakaran gudang di Kawasan Perindustrian Krubong, di sini, pada Khamis.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Aishah, 20, berkata, dalam kejadian lebih kurang 9.30 pagi dia baharu tiba di pejabat sebelum terdengar bunyi letupan kecil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terkejut melihat api pada wayar berdekatan alat pendingin udara sebelum bergegas keluar dari kawasan itu dan sempat memaklumkan kepada dua rakan lelaki mengenai kejadian terbabit.

Katanya, individu itu cuba untuk memadamkan kebakaran namun tidak berjaya malah api semakin marak sebelum dia menghubungi panggilan kecemasan.

Iklan

"Saya baharu empat hari menjalani latihan praktikal di gudang tersebut namun tak sangka diduga seperti ini.

"Cuma terkilan sebab tidak sempat menyelamatkan barangan peribadi termasuk dokumen pengenalan diri," katanya.

Iklan

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, BBP Ayer Keroh, BBP Melaka Tengah dan BBP Tangga Batu dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, operasi pemadaman mengalami sedikit kesukaran dan mengambil masa kerana bahagian bumbung gudang runtuh.

"Setiba di lokasi api telah marak lebih 50 peratus dan kita segera melakukan kerja pemadaman selepas diberitahu tiada mangsa berada di dalam premis.

"Operasi pemadaman di buat di bahagian gudang dan sisi depan serta belakang premis bagi mengawal api daripada merebak ke bangunan bersebelahan," katanya.

Jelasnya, kerja-kerja 'overhaul' sedang giat dilaksanakan dan menjangkakan api akan padam sepenuhnya pada petang ini.