Bazar Ramadan becak resahkan peniaga

Iklan
Keadaan di bazar Ramadan Pasir Puteh yang becak dan digenangi air hingga menjejaskan jumlah kehadiran pelanggan.

PASIR PUTEH - Seramai 160 peniaga bazar Ramadan bersebelahan padang bola sepak Pasir Puteh di sini melahirkan kebimbangan apabila tempat mereka mencari rezeki bukan sahaja becak malah digenangi air seolah-olah petak 'sawah' setiap kali hujan.

Situasi itu sekali gus menjejaskan 'kantung' kewangan para peniaga yang baharu sahaja kembali aktif selepas operasi bazar Ramadan ditutup akibat serangan Covid-19 selama dua tahun.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati beberapa kawasan di bazar Ramadan itu bukan sahaja becak, malah digenangi air sehingga menyebabkan peniaga mengambil keputusan menutup gerai mereka.

Seorang peniaga lauk, Badariah Ab Ghani, tidak dapat menahan sebak selepas melihat kawasan bazar itu digenangi air dan becak.

Iklan

"Apa yang berlaku pada Rabu amat memeritkan saya kerana jumlah pengunjung berkurang sekali gus menjejaskan mata pencarian kami.

"Sehubungan itu, saya harap pihak berkenaan dapat membaik pulih semula kawasan ini secepat mungkin. Hal ini kerana peniaga di sini sudah mengeluarkan belanja besar untuk berniaga dan membayar sewa tapak," katanya.

Iklan

Menurutnya, langkah segera perlu dilakukan memandangkan situasi cuaca semasa yang tidak menentu ketika ini.

Kawasan hadapan gerai Badariah digenangi air sehingga menyebabkan pelanggan sukar untuk pergi ke gerai berkenaan.

Bagi peniaga martabak, Mohd Nor Adam Abdul Rahman berkata, jualannya susut ekoran masalah tersebut berbanding beberapa hari lalu.

"Saya harap pihak terlibat tidak lepas tangan dan sebagai penyewa kami ada hak untuk mendapat keselesaan berniaga setimpal dengan bayaran sewa," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Noor Azman Md Nawi berkata, kerja-kerja menambun batu di tapak bazar Ramadan berkenaan telah dijalankan sebaik sahaja menerima laporan berkaitan masalah itu.

Katanya, kerja-kerja itu bagi memastikan tapak bazar Ramadan tersebut dalam keadaan yang baik apabila berlakunya keadaan cuaca yang di luar jangkaan seperti hujan lebat yang menyebabkan kawasan tersebut menjadi becak dan bertakung air.

"MDPP juga telah mengambil tindakan segera dengan mewujudkan saliran sementara dan menyediakan paip bawah tanah bagi mengalirkan air yang bertakung selain meninggikan aras tapak bazar berkenaan.

"MDPP telah memindahkan peniaga yang gerai mereka ditenggelami air ke kawasan yang lebih baik supaya peniaga dapat meneruskan aktiviti perniagaan," katanya.