KELAB gergasi Jerman, Bayern Munich terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 kepada Villarreal dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Estadio de la Ceramica pada Khamis.
Pengendali Bayern, Julian Nagelsmann mengakui juara Eropah enam kali itu wajar tewas melihatkan prestasi anak-anak buahnya sepanjang perlawanan berlangsung.
"Ia sesuatu yang tidak logik menyatakan Bayern Munich merupakan pasukan pilihan untuk ke pusingan seterusnya. Kami sewajarnya layak untuk tewas berdasarkan cara permainan pada perlawanan ini.
"Babak pertama kami kurang bertenaga terutama di bahagian pertahanan selain kurang mencipta peluang menjaringkan gol. Babak kedua gaya permainan bercelaru kerana kami berusaha mencari gol penyamaan.
"Kami melepaskan penguasaan permainan hanya kerana terdesak untuk menjaringkan gol dan hampir bolos dua gol dalam perlawanan ini,” katanya.
Arnaut Danjuma Groeneveld muncul wira Villarreal apabila meledak gol tunggal perlawanan, sekali gus memberikan sedikit kelebihan buat pasukannya menjelang aksi timbal balik di Allianz Arena minggu depan.
Penyerang veteran Bayern, Thomas Mueller mengakui dia dan rakan-rakan sepasukannya beraksi di bawah tahap sebenar sepanjang perlawanan tersebut.
"Kami seharusnya menerima kekalahan 0-1 ini dengan hati terbuka kerana tahu pasukan selayaknya mengalami kekalahan lebih daripada jaringan itu.
"Kami juga harus memberikan pujian kepada Villarreal pada perlawanan ini. Apa pun kami akan melakukan persediaan lebih rapi dan bangkit melakar kemenangan pada perlawanan kedua,” jelasnya.