KOTA KINABALU - Kementerian Pertanian Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bahawa bekalan makanan dalam keadaan stabil dan mencukupi menjelang perayaan Aidilfitri nanti.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, hasil perbincangan dan libat urus dengan pemain industri pengeluar makanan ketika ini bekalan makanan adalah stabil.
"Soal harga isu lain, bekalan stabil tetapi kita turut pantau.
"Minggu ini sudah dua kali saya mengadakan libat urus dengan pemain industri iaitu pihak pemborong untuk memastikan bekalan makanan kita stabil terutama menjelang perayaan akan datang," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya situasi bekalan makanan adakah mencukupi sempena menjelang perayaan tidak lama lagi.
Sementara itu, Ronald yang hadir menyempurnakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kementeriannya dengan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah (MAFS) serta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) turut berkata, persefahaman itu adalah untuk membangunkan industri nanas di negeri ini.
"Melalui LPNM adalah merupakan satu kerjasama baharu dengan MAFS. Kita tahu industri nanas sebelum ini rancak dijalankan di Semenanjung tetapi pertama kali kita membuat persefahaman untuk membangunkan industri nanas di Sabah.
"Sebagai permulaan, LPNM akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk memulakan pembangunan industri nanas di Sabah," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap langkah pertama itu akan berjaya untuk melihat perusahaan penanaman industri nanas dapat bertapak di Sabah.
"Lokasi pembangunan akan ditentukan MAFS dengan MAFI, jadi ada satu jawatankuasa dibentuk bersama untuk memantau dan kita harap agar bentuk kerjasama lebih erat dapat diwujudkan selepas kerjasama awal ini," katanya.
Sebelum itu, turut hadir Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Timbalan Menteri MAFI, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.