IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendedahkan bahawa tanah lapangan terbang di Seri Iskandar yang didakwa telah dijual sebenarnya masih milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, hasil catatan carian persendirian di Pejabat Tanah dan Daerah Kinta mendapati pemilikan Lot 600 di daerah Perak Tengah itu dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri berkenaan.
Menurutnya, syarikat hartanah yang beralamat di Pulau Pinang ada mengemukakan kaveat untuk tanah seluas 1224.8 ekar itu.
"Berdasarkan surat perjanjian jual beli yang dilakukan pada 28 September 2018 itu, lot berkenaan dijual sebanyak RM50.2 juta dan membayar cengkeram RM7 juta.
"Syarikat itu sudah bayar deposit maka dibuat kaveat terhadap harta tersebut untuk melindungi kepentingannya," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Hamidah berkata, perjanjian jual beli itu akan terbatal sekiranya tidak mengikut sekatan kepentingan.
"Sekatan kepentingan itu ialah tanah berkenaan hanya boleh dipindah milik atau dipajak dengan kebenaran bertulis oleh pihak berkuasa negeri.
"Sehingga hari ini tanah berkenaan masih milik PKNP kerana difahamkan perjanjian jual beli tanah ini tidak dibawa ke mesyuarat exco. Maknanya, perjanjian hanya sah sekiranya kerajaan negeri meluluskan penjualan lot ini," katanya.
Beliau turut menyangkal dakwaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bahawa tanah tersebut tidak boleh diambil semula selepas mendapat kebenaran merancang (KM).
"Kelulusan KM hanya boleh diberikan sekiranya syarikat itu memiliki tanah berkenaan. Hakikatnya, tanah tersebut belum dijual lagi.
"Jika hendak membatalkan perjanjian ini mudah sahaja, bawa isu ini ke mesyuarat Exco dan menolak cadangan jual beli, maka terbatal dan tanah tidak dijual. Saya sedia ke depan untuk bantu batalkan perjanjian itu," katanya.
Hamidah berkata, isu berkenaan boleh diselesaikan tanpa perlu digembar-gemburkan hingga menimbulkan kebimbangan awam.
"Perkara ini belum lagi berlaku walaupun ada cubaan jual sebelum ini dengan harga di bawah harga pasaran kerana ia mahu dibangunkan menjadi bangunan pembangunan bercampur. Saya tidak faham kenapa isu ini dibangkitkan hingga melibatkan ramai orang termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC).
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaliknya perlu siasat mengenai deposit RM7 juta sama ada masuk di bawah PKNP atau sebaliknya," katanya.