MASALAH tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai Perak FC sejak beberapa bulan lalu tampak seperti tidak akan berakhir dalam masa terdekat.
Malah, pemotongan tiga mata yang dikenakan Liga Bola sepak Malaysia (MFL) ke atas Perak FC minggu lalu menambahkan lagi tekanan di kem The Bos Gaurus.
Begitupun, Perak FC dinasihati untuk terus berjuang habis-habisan berdepan Selangor FC 2 dalam aksi Liga Premier di Stadium Perak pada Sabtu.
Bekas ketua jurulatih Perak, Datuk M Karathu berkata, setiap pemain perlu memanfaatkan peluang beraksi kerana kemungkinan ada ‘pemerhati’ yang hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
Jelasnya, tidak mustahil ada pihak yang terlibat akan menghubungi pemain selain menawarkan kontrak setelah mendapati aksi yang dipamerkan memuaskan.
"Kita tahu pemain tak dapat gaji. Tetapi mereka masih perlu pamerkan aksi yang terbaik kerana jika aksi mereka memuaskan, mungkin dapat offer (tawaran).
"Jadi nasihat saya, ini adalah peluang untuk semua pemain tunjukkan apa (bakat) yang mereka ada. Kalau dapat offer, kenalah pergi. Sekarang dah zaman FC dan sepatutnya tak ada lagi sentimen kenegerian.
"Selain itu dengan memberikan aksi terbaik, ia mungkin menghasilkan keputusan yang positif buat pasukan dan seterusnya menggembirakan penyokong,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Karathu turut menyuarakan kebimbangannya jika masalah tunggakan gaji itu masih berlarutan kerana ia pasti akan memberikan kesan kepada perkembangan bakat pemain muda.
"Masalah tunggakan gaji ini juga akan bagi kesan kepada perkembangan sukan bola sepak terutamanya di negeri Perak itu sendiri.
"Sebagai contoh, apabila ibu bapa tengok ada masalah tunggakan gaji seperti ini, macam mana mereka nak bagi anak-anak main bola?
"Disebabkan itu, saya harap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera kerana kita tidak mahu ia menjadi lebih buruk,” ujarnya.
Pada masa sama, Karathu menegaskan Perak FC sewajarnya dimiliki oleh syarikat-syarikat besar bagi menjamin kestabilan kelab itu khususnya dari segi kewangan.
"Bagi saya, Perak FC boleh dimiliki oleh syarikat besar kerana mereka ini tahu 'flow' perbelanjaan dan sebagainya. Jadi bolehlah mereka uruskan pasukan dengan baik.
"Saya juga tidak setuju kalau kena guna duit state government (kerajaan negeri), sebab sekarang semua dah jadi profesional, kena ada duit sendiri,” jelasnya.