SHAH ALAM - Pelitup muka tiga lapis keluaran Karangkraf menerusi anak syarikatnya, Karangkraf Medicare telah mendapat perakuan dan penandaan MS SIRIM dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).
Pengurus Operasinya, Raja Syuriani Raja Ali berkata, perakuan tersebut sudah mula diterima sejak April tahun lepas.
"Sejak perkenalkan produk ini di pasaran, awal-awal lagi kita sudah dapatkan label MS SIRIM dan MDA di mana kita adalah antara pihak terawal mendapatkan perakuan tersebut.
"Untuk makluman, tahap perakuan MDA di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah lebih tinggi berbanding SIRIM.
"Pelitup muka tiga lapis keluaran Karangkraf Medicare bertaraf perubatan dan pembedahan, maknanya tahap keberkesanan memang 99 peratus tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, Raja Syuriani berkata, pelitup muka tiga lapis keluaran Karangkraf Medicare telah dihantar ke makmal bagi menjalankan uji kaji kulit sensitif, kerengsaan kulit primer merangkumi 99 peratus penapisan bakteria.
"Produk kami ada jaminan kualiti daripada kilang di mana kita sediakan produk yang memang sesuai untuk kulit sensitif,” ujarnya.
Menurutnya, Karangkraf Medicare turut memberikan harga promosi kepada pengguna bersempena Ramadan serendah RM7 untuk 10 keping pelitup muka tiga lapis Medical Face Mask Karangkraf Plus 10s with Hygiene Case.