IPOH - Usaha mengesan dua pekerja kuari yang tertimbus sejak 8 Mac lalu genap sebulan pada Jumaat, dengan pasukan penyelamat bertungkus-lumus melakukan galian di lokasi runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, kerja-kerja cari gali masih diteruskan sehingga kini di titik yang dikenal pasti kedua-dua mangsa tertimbus bersama jengkaut.
"Kita belum dapat pastikan sama ada kerja-kerja itu telah menghampiri mangsa atau tidak kerana belum menjumpai sebarang tanda-tanda bangkai jengkaut.
"Kita juga tidak dapat menjangkakan tempoh masa yang diperlukan kerana ia bergantung kepada petunjuk yang dijumpai di bawah runtuh sepanjang operasi berlangsung," katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, bongkah-bongkah batu seberat 50 hingga 100 tan merupakan halangan terbesar kepada pasukan penyelamat.
"Timbunan batu bersaiz besar yang menutupi kedudukan jengkaut merupakan halangan besar dan ia merupakan faktor melambatkan usaha mencari mangsa sehingga ke hari ini.
"Setakat ini sebanyak 36 kali letupan secara terkawal telah dibuat dan masih dilaksana oleh pihak kuari," katanya.
Azmi berkata, pasukan terdiri daripada anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia (STORM) masih ditugaskan di tempat kejadian.
"Pegawai dan anggota akan bertugas dengan kaedah penukaran setiap dua hari. Keadaan mereka baik dari aspek mental dan emosi terutama di bulan Ramadan.
"Namun kekuatan anggota dikurangkan kerana bertugas bersama dengan pihak polis, pengurusan kuari, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan lain-lain," katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 9.15 pagi itu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.