KUALA LUMPUR - Sebanyak 58,780 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam (Khamis).
Berdasarkan laman web CovidNow, 1,354,514 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 38.2 peratus daripada populasi itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,856,360 individu atau 91.8 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,956,063 atau 95 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Dalam pada itu, seramai 15,899,713 individu dewasa atau 67.6 peratus telah menerima suntikan dos penggalak, 22,955,772 atau 97.6 peratus pula selesai menerima dua dos manakala 23,232,836 atau 98.8 peratus mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Sebanyak 29,734 dos vaksin diberikan pada Khamis merangkumi 15,374 dos kedua, 10,639 dos penggalak dan 3,721 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif dos diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 69,101,615.
Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 36 kematian direkodkan akibat Covid-19 di negara ini pada Khamis dengan Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu sembilan kes, diikuti Sarawak dan Perak masing-masing lima kes, Pulau Pinang dan Johor masing-masing empat kes.
Terdapat dua kes kematian masing-masing di Putrajaya dan Terengganu, manakala satu kes direkodkan setiap satu di Kuala Lumpur, Sabah, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. - Bernama