Tradisi buka puasa warga USM, penduduk dihidupkan semula

Iklan
Masjid Al Malik Khalid USM kini kembali meriah apabila majlis berbuka puasa yang diadakan setiap Ramadan sejak 20 tahun lalu kini dihidupkan semula. (Gambar kecil) Mohd Hariz.

GEORGETOWN - Tradisi yang diamalkan sejak 20 tahun lalu iaitu berbuka puasa bersama oleh warga Universiti Sains Malaysia (USM) dan penduduk setempat kini dihidupkan kembali selepas terhenti seketika sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

Selepas tempoh tersebut sepi tanpa majlis ukhwah itu, kini suasana di Masjid Al Malik Khalid di Pusat Islam, USM di sini kembali meriah dengan kehadiran warganya serta penduduk setempat yang mengambil kesempatan untuk berbuka bersama pada Ramadan tahun ini.

Iklan
Iklan

Penyelaras Iftar dan Sukarelawan Masjid Al Malik Khalid USM, Mohd Hariz Mohd Razak berkata, setiap hari bermula 1 Ramadan lalu, juadah berbuka puasa untuk 2,000 hingga 2,500 orang diedarkan kepada pelajar, kakitangan USM serta penduduk setempat berhampiran masjid tersebut.

Menurutnya, tradisi tersebut terpaksa dihentikan sebelum ini apabila negara dilanda Covid-19, namun pada tahun ini ia dihidupkan semula.

Iklan

"Sebenarnya majlis ini kita ada buat tahun lalu tetapi separuh jalan sahaja kerana negara melaksanakan 'lockdown' selain ia dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

"Tahun ini, lebih meriah namun masih mengamalkan SOP yang ditetapkan, dan insya-ALLAH akan dijalankan sepanjang bulan Ramadan ini," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Tambahnya, tradisi memasak juadah dan berbuka puasa beramai-ramai di masjid tersebut yang bermula sejak 20 tahun lalu amat dinanti-nantikan oleh warga USM dan penduduk sekitar yang pernah menyertainya sebelum ini.

"Kita tidak menyangka sambutan amat meriah untuk majlis iftar yang diadakan di masjid ini pada Ramadan kali ini. Mungkin sudah lama dihentikan akibat Covid-19, dan mereka mengambil kesempatan kali ini untuk sama-sama memeriahkan majlis berbuka puasa.

"Setiap hari pelbagai juadah akan dimasak secara gotong-royong oleh sekurang-kurangnya 25 kakitangan USM bersama pengurusan masjid untuk diedarkan kepada 2,500 orang bagi memudahkan mereka berbuka puasa," katanya.

Menurutnya, dana untuk majlis iftar di masjid berkenaan adalah sumbangan daripada orang ramai, kakitangan USM serta pelajar-pelajar universiti berkenaan.

Pelajar bukan muslim turut teruja untuk bersama-sama terlibat dalam menyediakan juadah berbuka puasa.

"Menu-menu yang dihidangkan juga berbeza setiap hari dan antara menu yang telah dihidangkan adalah ayam masak kurma, ayam masak merah, gulai daging dan sebagainya.

"Kami gembira melihat suasana masjid kembali dihidupkan namun semua pihak sentiasa diingatkan agar patuh dengan SOP yang ditetapkan,"katanya.

Tambahnya, lebih menarik, pelajar bukan Islam turut membantu dalam menyediakan dan mengemas juadah ketika program itu dijalankan.

"Tujuan kita memberi peluang kepada pelajar bukan Islam untuk membantu adalah untuk mengeratkan lagi hubungan sesama manusia.

"Pelajar yang terlibat juga dilihat seronok apabila dapat bersama-sama membungkus makanan, menyedok makanan dan mengemas," katanya.

Pelajar Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Yong Zhi Shuang, 20 berkata, pengalaman pertama dapat turut serta dengan membungkus makanan untuk rakan-rakan muslim berbuka puasa tidak akan dilupakan.

"Satu pengalaman yang sangat menyeronokkan, malah saya juga bangga kerana sebagai pelajar USM, saya berpeluang bekerjasama dengan orang lain dalam menghulur bantuan pada bulan puasa ini.

"Saya bekerja dengan semua bangsa dan ia amat menyeronokkan, malah saya turut cuba berpuasa untuk mengetahui bagaimana rasa tidak makan dan minum. Saya bangun sahur bersama rakan muslim dan teruja nak berbuka bersama-sama nanti," katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Muhammad Faris Yahani, 22, berkata, program iftar berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada golongan pelajar USM.

"Sebelum ini ketika pandemik, kita tidak dapat melihat suasana meriah di kawasan masjid ini, namun Ramadan kali ini, ia amat bermakna kerana kita dapat berbuka bersama-sama.

"Makanan yang dimasak serta diedarkan di masjid ini juga menepati selera kami, kami berharap suasana begini akan dapat diteruskan pada Ramadan tahun-tahun akan datang," katanya.