MELAKA TENGAH - Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan memperkenalkan dua spesies haiwan yang akan menjadi tarikan baharu Zoo Melaka sekali gus meningkatkan pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bermula Januari depan.
Yang Dipertuanya, Mahani Masban berkata, penempatan dua spesies haiwan iaitu sepuluh ekor kanggaru jenis wallaby dan tiga ekor helang merah akan menjadikan sebanyak 152 spesies haiwan yang terdapat di zoo berusia 50 tahun itu.
"Haiwan jenis itu semakin pupus dan sukar ditemui dan adalah usaha membawanya masuk ke Zoo Melaka adalah untuk menarik lebih ramai pengunjung. Setakat tahun ini kita mencatatkan seramai 600,000 pengunjung.
"Jadi, langkah memperkenalkan haiwan baru ini akan mampu mencapai sasaran 1,000,000 pengunjung pada tahun depan secara tidak langsung merancakkan sektor pelancongan dan menjana pendapatan ekonomi negeri,” katanya.
Mahani berkata demikian pada sidang media program Zootastic di Zoo Melaka sempena cuti sekolah yang turut dihadiri Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis dan Pengurus Kanan Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri, Asmaliana Ashari di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Menurutnya, pelbagai penambahbaikan infrastruktur serta aktiviti menarik seperti memberi haiwan makan dan menaiki kuda turut akan dapat membantu mencapai sasaran itu pada tahun depan yang juga Tahun Melawat Melaka.
"Kita juga membuat program kerjasama dengan badan bukan kerajaan dan zoo seluruh Malaysia untuk membawa masuk lebih banyak haiwan baru ke Zoo Melaka.
"Apa yang kami harapkan Zoo Melaka yang menjadi ikon pelancongan negeri akan membantu mempromosikan lagi Tahun Melawat Melaka tahun depan,” katanya.
Mahani berkata, Night Safari berjaya mencatatkan jumlah pengunjung seramai 5,000 orang dalam tempoh dua bulan beroperasi semula dan yakin bilangan itu akan terus bertambah menerusi promosi diskaun yang ditawarkan terutama kepada anak Melaka sama pada cuti persekolahan ini.