SEREMBAN - Sebuah premis menjual aksesori kereta yang dikesan membekalkan barangan tiruan dianggarkan bernilai RM32,410 di Taman Desa Cempaka, Nilai di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan pada Khamis.
Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, serbuan dilakukan pada jam 2 petang dengan kekuatan enam anggota itu adalah hasil risikan pihaknya dan kerjasama dengan wakil cap dagang.
"Premis tersebut dikesan membekalkan aksesori kenderaan iaitu 'speaker' (pembesar suara dan 'subwoofer' (sistem bunyi) yang disyaki menyalahgunakan satu cap dagang berdaftar yang terkenal.
"Berdasarkan pemeriksaan lanjut di premis berkenaan, kami menemui sebanyak 334 unit barangan tiruan tersebut dengan anggaran bernilai RM32,410," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ain Arjuna berkata, kesemua barangan tersebut telah disita mengikut Seksyen 102 (1) Akta Cap Dagangan 2019 bagi tujuan siasatan lanjut.
"KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus mengambil tindakan yang tegas ke atas peniaga yang didapati menjual barangan tiruan dari semasa ke semasa.
"Pengguna juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika membuat pembelian bagi mengelakkan tertipu ketika membeli barangan tiruan menggunakan jenama yang terkenal," katanya lagi.