TANJONG KARANG - Menjadi kelaziman Muhammad Farid Arbak, 29, yang bertugas sebagai Pegawai Bomba Bantuan mengusung mayat orang awam, namun pengalaman berbeza dirasai apabila mengangkat jenazah ibunya sendiri yang maut dalam kemalangan.
Muhammad Farid berkata, kemalangan yang mengorbankan ibunya, Norhamidah Kamar, 59, pada Khamis amat dirasai.
"Sepanjang saya bekerja lebih 20 jenazah pernah saya angkat, tetapi semalam (Khamis) tidak menyangka saya memasukkan jenazah emak di dalam bungkusan plastik," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Sungai Yu di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, Norhamidah maut di tempat kejadian selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dipandunya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Sungai Terap, Kampung Sungai Yu.
Muhammad Farid yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor berkata, kemalangan yang meragut nyawa ibunya itu diketahui selepas menerima panggilan daripada jirannya ketika sedang bertugas di balai.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan itu dia bergegas ke tempat kejadian dan terkejut melihat ibunya sudah terbaring di atas jalan raya dalam keadaan ditutup dengan kain batik.
"Saya tidak putus berdoa supaya nyawa emak panjang, tetapi berasa tidak sedap hati selepas melihat orang ramai mengerumuni emak," katanya.
Jelasnya, kali terakhir dia bertemu Allahyarhamah Norhamidah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Kuala Selangor pada pagi Khamis.
"Emak bekerja guru di sana dan kebetulan semalam (Khamis) arwah tertinggal telur itik dan telur masin yang dikirim rakan.
"Disebabkan tempat kerja tidak jauh dari tempat emak mengajar, saya sempat menghantar pesanan yang diminta," jelasnya.
Bagaimanapun, Muhammad Farid tidak dapat menahan sebak apabila masih terngiang-ngiang suara Allahyarhamah Norhamidah yang mengejutkannya bersahur pada pagi sebelum kejadian.
Malah, katanya, sehari sebelum kejadian mereka sekeluarga sempat berbuka puasa bersama dan menunaikan solat sunat tarawih di surau berhampiran.
"Inilah Ramadan terakhir saya bersama emak, namun sebagai Islam dan percaya kepada ketentuan-NYA tetap reda lebih-lebih lagi emak menemui Ilahi di bulan mulia ini," katanya
Suami kepada Allahyarhamah Norhamidah, Arbak Atan, 60, berkata, sebelum kejadian dia sempat menghubungi isterinya itu yang dalam perjalanan dari sekolah pulang ke rumah.
Katanya, kebetulan dia bersama seorang anak perempuan dan cucunya singgah membeli ubat di sebuah farmasi di Tanjong Karang.
"Sampai di pintu gerbang berhampiran rumah, saya melihat beberapa anak muda memanggil saya dan memaklumkan isteri terlibat dalam kemalangan.
"Saya terkejut nampak isteri sudah terbaring kaku dan terus menghampirinya, namun sebaik memegang tangan isteri nadinya sudah tiada.
"Pada waktu itu saya hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah dan berdoa agar arwah isteri pergi dalam keadaan husnul khotimah," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Kuala Selangor menuju pulang ke rumahnya di Jalan Sungai Terap, Kampung Sungai Yu.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan di sebelah kanan.
"Kenderaan mangsa kemudian terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi bahu jalan sebelah kanan jalan.
"Kemalangan itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian," katanya.
Mohd Ambia berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.