Penyelam terselamat masih trauma, polis belum dapat ambil keterangan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 7 April. (Gambar kecil: Cyril Edward)

MERSING - Polis masih belum dapat melakukan siasatan penuh mengenai kehilangan tiga lagi warga Eropah ketika melakukan aktiviti selaman di Pulau Tokong Sanggol di sini pada Rabu meskipun salah seorang daripada mangsa telah ditemui.

Ketua Polis Daerah Mersing, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, perkara itu bagi memberi masa kepada mangsa terselamat untuk pulih daripada rawatan kerana masih trauma.

Iklan
Iklan

"Untuk penyelam yang kita temui semalam (Khamis), kita masih tidak dapat membuat siasatan yang menyeluruh kerana keadaan dia lemah dan masih dalam keadaan trauma.

"Malah saya dengan pihak Maritim Malaysia (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) juga telah berjumpa dengan penyelam itu tetapi dimaklumkan dia masih dalam keadaan tidak stabil untuk memberikan kerjasama,” katanya kepada pemberita di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing di sini pada Jumaat.

Iklan

Pada Khamis, wanita warga Norway berusia 35 tahun yang juga jurulatih selam itu ditemui selamat kira-kira 30 batu nautika dari lokasi dia dilaporkan hilang oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.

Mangsa kemudiannya dibawa menaiki helikopter ke pusat rawatan di bandar Mersing pada jam 12.05 tengah hari sebelum dirawat di Hospital Mersing.

Iklan

Sementara itu, Cyril Edward berkata, pihaknya juga berharap agar masyarakat tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau fakta tidak tepat berhubung kejadian ini.

"Spekulasi atau fakta tidak tepat menganggu dalam proses pencarian kami dan juga keluarga mangsa. Kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku.

"Jika perkara itu dikesan dan ganggu siasatan, pihak polis akan ambil tindakan tegas dengan undang-undang sedia ada kepada mereka," katanya.