SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat diberitahu bahawa kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan adalah dibunuh dan bukan disebabkan kejadian kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara pada 2018.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata, kebakaran yang berlaku itu, bukanlah disebabkan satu kemalangan sebaliknya ia adalah satu kebakaran yang dirancang.
"Tempat kejadian juga adalah merupakan satu ‘staged crime scene’ yang dicipta tertuduh (Samirah Muzaffar) dan dua remaja lain yang dituduh bersamanya,” katanya ketika berhujah pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.
Samirah, 47, serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 19 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.
Mohd Asnawi berhujah kebakaran itu bukanlah satu kemalangan tetapi merupakan kebakaran yang disengajakan, kerana kebakaran yang berlaku tidak sekata dan kewujudan ‘irregular patterns’ pada dinding bilik serta tiga tempat ‘fire of origin’.
"Merujuk kepada keterangan pegawai penyiasat, Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Abdul Halim Zulkefeli yang merupakan Saksi Pendakwaan ke-15 (SP15), tiga tempat di mana bermulanya kebakaran iaitu di bahagian kepala si mati, bahagian atas katil di mana telefon Blackberry S2 dijumpai dan di dinding di bahagian kanan kepala katil."Hanya tempat ini saja yang mengalami kebakaran manakala tempat lain hanya kesan ‘soot’ (jelaga) serta mencair (melting). Hasil siasatan SP15 juga, kebakaran yang berlaku di bahagian kepala si mati dan di atas katil menunjukkan dua kebakaran yang berbeza.
"SP15 dalam keterangannya juga menyatakan bahawa bentuk kebakaran pada dinding menunjukkan satu ‘pattern’ berbeza daripada bentuk-bentuk lain, disebabkan itu (pattern), SP15 telah mengambil sampel di dinding tersebut yang ternyata mempunyai sisa petrol setelah dianalisa Aznor Sheda Samsudin, pegawai sains, JBPM (SP14),” katanya.
Beliau juga berhujah telefon bimbit milik si mati iaitu Blackberry S2 tidak meletup atau ‘overcharging’.
"Meskipun telefon bimbit boleh menyebabkan letupan, berdasarkan pengalaman Pegawai Turus StaRT (Persenjataan/Komander UPB) Ibu Pejabat Polis Selangor ASP Mohd Sa’ad Mat Nasib (SP35), ia tidak memberi kesan pada badan telefon itu dan bateri hanya akan menendang casing telefon tersebut.
"Di dalam kes ini, sekiranya telefon Blackberry S2 meletup sekalipun, SP35 menyatakan bahawa ia tidak kuat kerana bateri telefon masih dalam tempatnya, berdasarkan kepada kesan kilat di tapak bateri tersebut yang menunjukkan ia tidak terkena api,” katanya.Tambahnya, pihak pendakwaan juga menghujahkan bahawa tidak terdapat kemungkinan terdapat letupan daripada ‘powerbank’.
"Ini kerana, SP35 menyatakan bahawa sekiranya ‘powerbank’ meletup, semestinya akan terdapat rangka ‘powerbank’ tersebut di tempat kejadian, bagaimanapun di dalam kes ini, SP15 tidak menjumpai sebarang bentuk ‘powerbank’ di tempat kejadian. Jadi, tidak terdapat kemungkinan bahawa yang meletup adalah ‘powerbank’,” ujarnya.
Justeru, beliau berhujah bahawa punca kematian si mati adalah disebabkan kecederaan dan bukannya kerana kebakaran, berdasarkan keterangan pakar patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng (SP46) menyatakan bahawa satu bedah siasat dijalankan ke atas mayat si mati pada 14 Jun 2018, mendapati terdapat beberapa kecederaan di bahagian kepala.
"Kecederaan yang membawa kepada kematian adalah kecederaan pertama di bahagian kiri kepala si mati iaitu ‘penetrating wound, measuring 5 x 4 cm a left parietal region’. Berdasarkan keterangan SP46, ia adalah kecederaan fatal (disebabkan objek tumpul) yang menyebabkan kecederaan otak dan pendarahan teruk,” katanya.
Hujahnya lagi terdapat ‘conduct’ (kelakuan) oleh tertuduh (Samirah) yang releven di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan 1964, yang menunjukkan kaitan di antara kejadian yang menimpa si mati dengan Samirah."Keterangan pengawal keselamatan Raju Kumar Pandit (SP4) menyatakan, pada 14 Jun 2018 lebih kurang jam 12.24 tengah hari, SP4 terima panggilan dari pemilik sebuah rumah terdapat sedikit masalah.
"SP4 terus ke rumah tersebut dan nampak asap keluar dari rumah itu. SP4 kemudian bertanya kepada tertuduh (Samirah) sama ada telah menelefon bomba atau tidak dan Samirah menjawab, masih belum.
"Isu yang ingin ditekan di sini adalah kelakuan tertuduh yang tidak membuat panggilan kecemasan, walaupun sudah mengetahui mengenai kewujudan asap di tingkap bilik atas rumahnya,” katanya.
Hujahan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim bersambung 13 April depan. - Bernama