DUA pemain skuasy Pulau Pinang yang diterima masuk ke dua universiti terkemuka dunia, Universiti Harvard dan Universiti Princeton berhasrat untuk terus bersaing dalam sukan itu sambil melanjutkan pengajian dalam bidang sains.
Ishant Shah, 19, yang diterima masuk ke Universiti Harvard berkata, akan terus bersaing dalam kejohanan skuasy ketika dalam pengajian dengan mewakili univerisiti.
"Saya akan menjadikan skuasy sebagai kerjaya sebaik sahaja saya menamatkan pengajian di Harvard, bagaimanapun ketika belajar pun, saya akan mewakili universiti dalam sukan skuasy.
"Saya bercadang memilih kursus berkaitan biologi dan farmakologi. Saya akan meneliti terlebih dahulu pilihan jurusan saya ini sebelum memilih pengkhususan (major)," katanya ketika ditemui di Pejabat Ketua Menteri pada Jumaat.
Ishant sebelum itu menerima bantuan khas RM3,000 daripada kerajaan Pulau Pinang disampaikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Ishant mula bermain skuasy pada usia tujuh tahun di Akademi Skuasy Nicol David dan pernah memenangi pingat emas di Sukan Sekolah ASEAN Ke-10 pada 2018 serta pingat emas di Terbuka Remaja India HCL bawah 17 tahun pada 2019.
Malah beliau juga memenangi pingat perak di bawah 17 tahun British Terbuka 2020 dan mewakili Pulau Pinang di Sukma pada 2016.
Sementara itu, seorang lagi pemain skuasy Pulau Pinang, Teoh Liyen, 20, turut menerima bantuan khas RM3,000 oleh kerajaan Pulau Pinang berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Princeton.
Katanya turut berhasrat untuk terus bersaing dalam kejohanan skuasy ketika melanjutkan pelajaran di universiti kelak.
"Saya bercadang untuk belajar dalam bidang kejuruteraan dengan pengkhususan kejuruteraan awam dan mekanikal. Saya tidak akan berhenti bermain (skuasy) dan akan terus bersaing dalam kejohanan ketika berada di universiti nanti.
"Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada akan meneruskan kerjaya dalam skuasy selepas menamatkan pengajian atau meneruskan pengajian dalam ijazah sarjana. Saya akan membuat keputusan apabila tiba masanya nanti," katanya.
Liyen pertama kali mewakili Pulau Pinang di Sukma pada 2018 yang mana, dia memenangi emas dalam Sukan Sekolah ASEAN Ke-10 2018, pingat perak dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan Ohana (acara plat perdana) 2019 dan emas dalam Kejohanan Skuasy Pulau Pinang 2021.
Sementara itu, seorang lagi pelajar Pulau Pinang, Herman Leong Xin Yang, 20, turut diterima masuk ke Universiti Harvard pada tahun ini.
Xin Yang yang kini menuntut di Kolej Yayasan UEM Selangor, diwakili ibunya, Chun Siew Li, juga menerima bantuan khas RM3,000 itu.
Siew Li berkata, ia adalah impian anaknya untuk belajar dalam bidang biologi di universiti terkemuka itu.
"Anak saya ada mohon di beberapa universiti tetapi Harvard adalah pilihan pertamanya kerana dia tahu di sana, menyediakan kursus biologi yang sangat baik. Dia tidak jangka terima masuk ke Harvard kerana tahu amat kompetitif," katanya, Xin Yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang biologi molekul dan selular.