KPLB, K-KOMM kerjasama tingkat internet tabika Kemas

Iklan
Mahdzir ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Kakitangan Kemas Negeri Pulau Pinang pada Jumaat.

TASEK GELUGOR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan berkolaboratif bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dalam usaha meningkatkan capaian internet di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) milik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Menteri KPLB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerjasama itu bertujuan meningkatkan keupayaan tabika Kemas dalam memahami proses digitalisasi terutama untuk perkembangan pendidikan kanak-kanak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Kemas kini sedang melaksanakan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak di 11,000 tabika miliknya di seluruh negara.

"Kita menyasarkan 700 buah tabika akan dilengkapi dengan kemudahan serta capaian internet jalur lebar yang lebih baik khususnya di kawasan kampung.

Iklan

"Sekiranya capaian internet dapat dipertingkatkan, proses memahami dunia digital dalam kalangan kanak-kanak akan menjadi lebih mudah," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Kakitangan Kemas Negeri Pulau Pinang di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Iklan

Oktober tahun lalu media melaporkan Kemas akan melaksanakan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak di 11,000 tabika Kemas di seluruh negara.

Mahdzir sebelum ini berkata, pelan transformasi digital itu diharap menjadi aspirasi pembangunan bakat digital kanak-kanak di Tabika Kemas.

Katanya, usaha itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 kanak-kanak tabika Kemas pada masa akan datang.

"Pelan ini merangkumi beberapa strategi antaranya memperluaskan pembekalan peralatan digital seperti televisyen pintar, komputer dan akses internet bagi mewujudkan persekitaran digital.

"Pelan itu juga akan memperkasakan pembangunan kandungan bahan pengajaran dan pembelajaran digital melalui kerjasama strategik pelbagai pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pihaknya juga berkolaboratif dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang dalam merealisasikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang dilaksanakan.