SHAH ALAM - Pas akan menyokong penuh pembentangan dan pembahasan Rang Undang-Udang Perlembagaan (Pindaan) 2022 yang akan diadakan pada sidang khas Parlimen, Isnin ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rang undang-undang tersebut akan meminda Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 10(3) berhubung kebebasan berpersatuan.
"Berdasarkan kes Dewan Undangan Negeri Kelantan lawan Nordin Salleh & Anor, sesuatu peruntukan undang-undang atau Perlembagaan negeri berkaitan sekatan lompat parti akan dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan selagi Perkara 10 tidak dipinda bagi membolehkan Akta Lompat Parti digubal dan diluluskan oleh Parlimen.
"Maka atas dasar inilah, jemaah menteri yang bersidang pada 6 April 2022 memutuskan sidang khas Parlimen pada 11 April perlu bersidang untuk meminda Perkara 10 bagi membolehkan suatu akta berkaitan lompat parti dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen dalam suatu sidang yang lain," katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Jumaat.
Terdahulu media melaporkan, pembentangan dan pembahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 pada 11 dan 12 April ini, membabitkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Rang Undang-undang berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen.
Takiyuddin berkata, jemaah menteri secara sebulat suara juga turut bersetuju bahawa perkara berkaitan lompat parti dan implikasinya dari segi undang-undang perlu dimasukkan secara lengkap dan terperinci di dalam suatu akta Parlimen yang khusus.
"Akta Parlimen tersebut perlu merangkumi definisi dan misalan yang terang dengan penjelasan konkrit bagi mengelakkan kekeliruan, penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan berat sebelah yang turut menyebabkan pihak terkesan mencabarnya di mahkamah," katanya.