Tukang jahit mula sibuk siapkan tempahan

Iklan
Norhalipah sibuk menyiapkan tempahan pakaian daripada pelanggan di kedai di Pasar Besar Kuantan.

KUANTAN - Tukang jahit di daerah ini mula sibuk menyiapkan tempahan baju raya yang dihantar oleh pelanggannya sejak sebulan lalu.

Norhalipah Yaakob, 60, berkata, sehingga kini sudah menerima tempahan lebih 50 pakaian raya untuk dijahit setakat ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, namun menjangkakan bilangan tersebut akan terus meningkat kerana masih menerima tempahan sehingga penghujung bulan ini.

"Boleh saya katakan ada peningkatan tempah sekitar 50 hingga 60 peratus pada tahun ini berbanding pada tahun lalu susulan penutupan kedai akibat pandemik Covid-19.

Iklan

"Saya bersyukur kerana tahun ini ada rezeki lebih dan sekurang-kurangnya pendapatan diperoleh ini dapat digunakan untuk sambutan raya meskipun tempahan tidak semeriah empat tahun lalu," katanya ketika ditemui di kedai jahitnya di Pasar Besar Kuantan pada Jumaat.

Ibu kepada tiga anak itu mengakui boleh menyiapkan kira-kira empat ke lima pasang baju kurung biasa dalam masa sehari.

Iklan

"Kalau baju kurung moden yang mempunyai zip, kerawang, renda serta rekaan tertentu pula akan ambil masa sehingga dua jam untuk sepasang.

"Alhamdulillah, kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja saya," ujarnya yang sudah menjadi tukang jahit sejak lebih 30 tahun lalu.

Sementara itu, Zaiton Ngah, 60, meluahkan rasa syukur masih ada rezeki apabila mendapat tempahan pakaian raya untuk sambutan Aidilfitri daripada pelanggan tetapnya.

Zaiton menggosok fabrik sebelum menjahit.

Katanya, antara jenis baju raya yang ditempah termasuklah baju kurung biasa, baju kurung moden, baju kebaya, jubah serta baju kurung kanak-kanak yang berharga sekitar RM60 sehingga RM100 bergantung kepada rekaan.

"Saya bukan saja menawarkan harga upah yang boleh dibayar pelanggan, tapi seiring dengan kualiti ditawarkan. Bermula dengan memotong fabrik, jahit tepi, menyambung kain, membuat jahitan sembat dan menggosok pakaian, semua dilakukan dengan sepenuh hati kerana minat," katanya.

Abdul Rahman Daud, 45, berkata, bagi tahun ini, kebanyakan tempahan diterima adalah bukan hanya untuk dipakai pada hari lebaran.

"Saya ada menerima tempahan pakaian satu keluarga untuk dipakai pada hari raya dan majlis perkahwinan.

"Tempahan memang banyak, namun kebanyakan pelanggan menghantar hanya sehelai atau dua helai sahaja sekarang berbanding lima helai seorang untuk tahun sebelum pandemik.

"Sebelum ini, kalau tiga bulan sebelum Aidilfitri, kami akan terima paling kurang pun 100 pasang dan akan tutup tempahan lebih awal, namun sekarang ini kami masih buka tempahan untuk jumlah tidak banyak," ujarnya.