KUALA LUMPUR - Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony J Blinken mengadakan perbualan dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Jumaat, membincangkan komitmen kedua-dua mereka untuk mempertingkatkan keamanan dan kemakmuran di rantau Indo-Pasifik.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua mereka turut berkongsi perspektif mengenai pembangunan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik, yang akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi secara meluas di seluruh rantau itu dan menyemak pendirian mereka mengenai perang Kremlin menentang Ukraine.
Kenyataan itu dikeluarkan melalui laman sesawang jabatan itu.
Sekurang-kurangnya 1,611 orang awam terbunuh sejak Rusia memulakan perang terhadap Ukraine pada 24 Februari dan 2,227 cedera, menurut anggaran PBB dengan angka sebenar dikhuatiri jauh lebih tinggi.
Lebih 4.3 juta rakyat Ukraine melarikan diri ke negara lain, dengan berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal, menurut agensi pelarian PBB. - Bernama