Taman Rimba Woodhaven bakal jadi tarikan baharu di Seberang Perai

Iklan
Kon Yeow (dua dari kiri) menunjukkan pelan pembangunan projek penghijauan Taman Rimba Woodhaven.

BUKIT MERTAJAM - Taman Rimba Woodhaven yang kini sedang dibangunkan di Jalan Betek, di sini bakal menjadi tarikan baharu kepada orang ramai untuk beriadah dan bersantai tidak lama lagi.

Berkonsepkan gabungan Taman Bandaraya serta Taman Botani Pulau Pinang, Taman Rimba Woodhaven menelan belanja RM3 juta dan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 2.63 hektar berhampiran Kompleks Sukan MBSP di sini.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, cadangan mewujudkan Taman Rimba Woodhaven bertujuan untuk menjadikannya sebagai sebuah taman rimba rekreasi yang unik, lebih kondusif dan selesa serta lengkap dengan pelbagai kemudahan.

"Pelbagai elemen akan digabungkan untuk mencipta suasana sebuah rimba bandar yang sesuai untuk perkhemahan dan program rekreasi keluarga.

Iklan

"Projek penghijauan taman ini sekaligus membantu merealisasikan impian kerajaan negeri dalam Visi Penang2030 dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek penghijauan Taman Rimba Woodhaven di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng dan Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.

Iklan

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri amat menitikberatkan usaha-usaha penghijauan dan mentransformasikan tempat-tempat awam agar rakyat dapat menikmati dan memanfaatkan penggunaan infrastruktur yang lebih baik untuk aktiviti riadah dan rekreasi.

Sehubungan itu, beliau berharap apabila siapnya Taman Rimba Woodhaven yang dijangka mengambil masa selama lapan bulan akan menjadi tempat rekreasi pilihan bukan sahaja kepada penduduk setempat malah menjadi medium untuk penduduk berinteraksi sekali gus membantu integrasi sosial dan kesejahteraan hidup rakyat.