PLATS 3.0 dilancarkan, sasar penyertaan 10,000 peniaga

Iklan
Amirudin (tiga dari kanan) merasmikan Pelancaran Program Pemerkasaan Penjaja Melalui Inisiatif PLATS di Bazar Ramadan Bandar Kinrara 5, Puchong.

SUBANG JAYA - Platform Selangor siri ketiga atau PLATS 3.0 dilancarkan dengan menyasarkan penyertaan 10,000 peniaga mikro di negeri ini bagi mendigitalkan operasi perniagaan mereka.

PLATS merupakan platform promosi dan direktori digital dibina pada 2020 untuk membantu peniaga mikro mengguna dan mengakses teknologi digital.

Iklan
Iklan

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PLATS 3.0 diteruskan untuk membantu lebih ramai peniaga melakukan transformasi perniagaan dan bukan bersaing dengan perkhidmatan lain.

"Kita umumkan PLATS pada 2020 sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula dengan 163 penyertaan dan kita dapat lebih 4000 pada tahun lepas.

Iklan

"Sekarang kita sudah ada 7,000 peniaga dan penjaja malah usaha ini juga berterusan dengan kerjasama Rakan Digital Selangor (RDS)," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pelancaran Program Pemerkasaan Penjaja Melalui Inisiatif PLATS bersama Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail di Bazar Ramadan Bandar Kinrara 5, Puchong di sini.

MBI merupakan pemangkin PLATS 3.0 dan dilaksana oleh PNSB menerusi RDS.

Iklan

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han; Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau; Ketua Pegawai Eksekutif Pemodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI merupakan pemangkin PLATS 3.0 dan dilaksana PNSB menerusi RDS.

Pelaksanaan PLATS 3.0 pada kali ini turut melibatkan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membantu mempercepat penyertaan usahawan dan peniaga.

Dua tahun lalu, PLATS melancarkan Bazar Ramadan Digital yang pertama di Malaysia bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 kemudiannya dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Amirudin menambah, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan semua 12 PBT terbabit dalam pelbagai inisiatif untuk mempercepatkan proses penyertaan.

Menurutnya, sesi latihan dan pembangunan yang tersusun akan disediakan untuk mengajar peniaga mikro mengenai cara menggunakan teknologi digital bertujuan menjana lebih banyak hasil dan pendedahan kepada perniagaan mereka.

"Pusat perkhidmatan juga akan ditubuhkan untuk membimbing peniaga ini ke arah pendigitalan dalam talian melalui PLATS manakala pasukan RDS akan terus membantu peniaga mikro dalam pemasaran dan penjenamaan melalui platform digital dan media sosial," katanya.