KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang pemuda dan merampas pelbagai jenis mercun bernilai hampir RM6,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Peringat di sini, sekitar jam 1 pagi, pada Sabtu.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azahari Nusi berkata, lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 24 tahun.
"Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas individu berkenaan membawa PGA kepada pemeriksaan sebuah premis perniagaan iaitu kedai runcit bersebelahan rumah suspek.
"Pasukan serbuan menjumpai pelbagai jenis mercun disembunyikan di bahagian belakang premis tersebut dengan anggaran nilai pasaran berjumlah RM1,306,” katanya kepada pemberita, pada Sabtu.
Menurut Azahari, suspek membawa pasukan ke lokasi kedua di sebuah rumah di Jalan Pondok Pasir Tumbuh, di sini, pada jam 2 pagi.
"Pemeriksaan PGA menjumpai pelbagai jenis mercun disembunyikan di dalam premis berkenaan dengan anggaran nilai pasaran RM 4,422.
"Siasatan awal mendapati mercun itu dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand untuk dipasarkan di sekitar Kota Bharu. Turut dirampas seunit telefon bimbit,” katanya.
Tambah Azahari, keseluruhan nilai rampasan termasuk telefon bimbit dianggarkan bernilai RM 6,728.
"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Melor untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.