Hari pertama operasi Bazar Aidilfitri Lorong TAR meriah

Iklan
Keadaan hari pertama operasi Bazar Aidilfitri Lorong TAR pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Peniaga Bazar Aidilfitri Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) meluahkan rasa lega apabila hari pertama operasi bazar berkenaan pada Sabtu mendapat sambutan positif daripada pengunjung.

Peniaga serunding dan rendang, Redzuan Ghazali, 54, berkata, dia tidak menang tangan melayan pelanggan yang memenuhi gerainya sejak dibuka jam 10 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, petanda baik itu menunjukkan perniagaan bazar pada tahun ini kembali meriah selepas hampir tiga tahun dibelenggu pandemik Covid-19.

"Jika dibandingkan tahun lepas, tahun ini perniagaan nampak baik dan pelanggan memberangsangkan.

Iklan

Tahun lepas, saya hanya dapat bertahan selama 10 hari berniaga di sini sebelum ambil keputusan angkat kaki.

"Bisnes tahun lepas memang menurun hinggakan nak bayar sewa tapak pun tak lepas," katanya ketika tinjauan Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Peniaga kuih raya, Muhamad Mustaqim Shaharudin, 29, berkata, jualan kurang dua jam pada Sabtu menyemai pendapatan tiga hari operasi pada tahun lepas.

"Tahun lepas bisnes sangat perlahan dan kurang sambutan kerana prosedur operasi standard (SOP) dan sistem kawalan ketat mempengaruhi jumlah pengunjung yang beli-belah ke sini.

"Kami jadi lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beri kelonggaran dengan buka pagar yang dipasang di kawasan bazar ini yang memudahkan urusan jual beli," katanya.

Dia berharap kedatangan pengunjung pada tahun ini meningkat sehingga hujung Ramadan bagi merancakkan sektor perniagaan di kawasan itu.

"Tahun lepas kami perlu kerja kuat dan gunakan pelbagai medium untuk habiskan jualan. Pemborong sendiri mohon bantuan daripada peniaga untuk menghabiskan stok mereka.

"Saya harap sambutan pengunjung meriah hingga hujung Ramadan. Kelonggaran diberikan banyak membantu peniaga dan saya yakin jualan akan kembali stabil dengan pembukaan sempadan negara dan kelonggaran SOP diberikan," katanya.

Sementara itu seorang pengunjung, Mohamad Abdullah, 59, berkata, dia berpuas hati dengan kelonggaran operasi bazar berkenaan yang memudahkan peniaga dan pengunjung untuk membeli-belah.

" Apabila kelonggaran telah diberikan, saya harap orang awam dapat sama-sama menjaga diri dengan mengamalkan SOP kendiri seperti elak bersesak dan menjaga penjarakan fizikal. Jika boleh elakkan membawa anak-anak kecil bagi mengurangkan risiko jangkitan.

"Saya datang ke sini untuk memberikan sokongan kepada peniaga tempatan, saban tahun memang beli keperluan hari raya di sini cuma tahun lepas saya tidak turun kerana masih di fasa pandemik," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Ariff Shaari, 35, berkata, jumlah pengunjung pada hari pertama operasi nampak terkawal.

"Belum nampak lagi kemeriahan mungkin kerana masih awal Ramadan namun dijangka akan bertambah menjelang hujung Ramadan atau selepas pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diluluskan nanti.

"Ditambah pula dengan pembukaan sempadan dan tiada lagi sekatan rentas negeri, saya jangkakan Bazar Aidilfitri Lorong TAR akan kembali meriah sama seperti sewaktu sebelum kemunculan Covid-19 dulu," katanya.

Dalam pada itu petugas DBKL yang membuat rondaan di kawasan itu pada Sabtu memberitahu seramai 26 anggota ditugaskan pada hari pertama operasi bazar tersebut.

Menurutnya, sistem kawalan pada tahun ini lebih longgar berbanding tahun sebelumnya apabila sistem pagar dimansuhkan dan sebanyak tujuh laluan keluar masuk disediakan kepada pengunjung.

"Tiada pas digunakan untuk hadkan pengunjung namun kami nasihatkan orang ramai untuk terus patuhi SOP dan jaga jarak.

"Petugas akan memberikan teguran dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan di kawasan itu terkawal dan tidak terlalu sesak pada satu-satu masa," katanya.

Sebanyak 206 petak niaga disediakan di bazar Aidilfitri Lorong TAR yang beroperasi bermula 9 April hingga 2 Mei bermula jam 10 pagi hingga 12 malam.