Polis rampas mercun bernilai RM20,000 ditinggalkan dalam kereta

Iklan
Gambar hiasan

PASIR MAS - Polis merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM20,000 daripada sebuah kereta Toyota Camry yang ditinggalkan pemandunya dekat Kampung Chica Tinggi, di sini jam 10 pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, bagaimanapun pemandu kereta yang diekori anggota unit kereta peronda (MPV) berjaya meloloskan diri ke dalam semak berdekatan sebaik memberhentikan kereta di tepi jalan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kes dikesan selepas anggota unit kereta peronda (MPV) telah terserempak dengan kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan itu di Simpang Tiga Batu Karang dari arah Rantau Panjang ke Pasir Mas kira-kira jam 9 pagi.

"Anggota MPV kemudian mengekori kereta tersebut sambil mengarahkan supaya berhenti untuk pemeriksaan tetapi pemandunya terus memecut laju sejauh 10 kilometer sebelum berhenti secara mengejut di Kampung Chica Tinggi sebelum pemandunya keluar melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Iklan

Katanya, anggota polis cuba mengesan suspek namun gagal menemui pemandu kereta itu yang melarikan diri ke dalam semak berdekatan.

Mohd Nasaruddin berkata, pemeriksaan ke atas kereta yang ditinggalkan menemukan ada 13 kotak besar berwarna coklat mengandungi pelbagai jenis mercun.

Iklan

"Polis percaya kesemua mercun itu diseludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di Sungai Golok untuk dijual di sini sempena musim perayaan.

"Antara mercun yang dirampas ialah ‘Rich Flower, Thunder K, Gettering Thunder K’ dan pelbagai lagi yang bernilai RM20,000," katanya yang percaya akan ada banyak lagi cubaan menyeludup mercun menjelang perayaan Aidilfitri.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - Bernama