Tekong gagal seludup 79 PATI selepas kutip bayaran RM142,200

Iklan
79 PATI ditahan semasa cuba menceroboh masuk ke Malaysia melalui jalan laut tidak diwartakan, pada Jumaat.

SABAK BERNAM - Cubaan seorang tekong laut untuk menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas mengutip bayaran RM142,200 daripada 79 orang migran dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Op Gelora berhampiran Kuala Sungai Besar di sini, pada Jumaat.

Komander Wilayah 1 PPM, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, selain tekong laut, empat pembantu tekong turut ditahan bersama semua PATI tersebut oleh Bot Ronda PSC 15 dengan bantuan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam sekitar jam 10.30 malam.

Iklan
Iklan

Menurut Shamsol, bertindak di atas maklumat, polis berjaya memintas bot pom-pom yang dinaiki oleh migran dari Indonesia berkenaan lebih kurang 4.8 batu nautika dari Kuala Sungai Besar sebelum mereka mendarat.

"Hasil soal siasat awal mendedahkan tekong dan ejen aktif menguruskan migran keluar dan masuk Malaysia sejak satu bulan lalu.

Iklan
Pihak berkuasa berjaya memintas bot pom-pom dinaiki oleh migran dari Indonesia lebih kurang 4.8 batu nautika dari Kuala Sungai Besar sebelum mereka mendarat pada Jumaat.

"Hasil soal siasat awal terhadap migran mendapati, bayaran yang dikenakan untuk masuk ke Malaysia adalah 6 juta rupiah (RM1,800) yang dibayar kepada ejen di Indonesia," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua PATI termasuk tekong dan empat pembantunya merupakan warganegara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah masuk melalui laluan laut yang tidak diwartakan.

Iklan

Kata Shamsol lagi, kesemua migran yang ditahan berusia dalam lingkungan 16 hingga 55 tahun dibawa ke IPD Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.

"Siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.