KUANTAN - Seramai 16 rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Kemboja di negara itu berada dalam keadaan baik.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini semuanya telah dibawa ke Phnom Penh untuk disoal siasat.
"Kementerian Luar mengikut rapat perkembangan kes ini. Angka sebenar rakyat Malaysia yang ditahan tidak dapat dipastikan sebaliknya hanya bergantung kepada maklumat pihak berkuasa negara tersebut.
"Sebelum ini ada pihak dedahkan terdapat dua rakyat Malaysia ditahan di Kemboja berkait kes judi dalam talian sebaliknya kita mendapat maklumat ada seramai 16 orang. Jadi, sedang pastikan sama ada dua ditahan itu termasuk dalam 16 individu ini atau sebaliknya," kata Saifuddin dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Hindu Sangam Kuantan, pada Sabtu.
Saifuddin berkata, Pejabat Perwakilan Malaysia (Malawakil) di negara itu sentiasa memantau perkara ini dari masa ke semasa malah mengambil tindakan segera berdasarkan maklumat diterima melibatkan rakyat Malaysia.
"Identiti individu yang ditahan sudah dikenal pasti namun tidak boleh didedahkan. Pihak Malawakil akan dihubungi dan kita boleh mengambil langkah sewajarnya untuk membantu mereka.
"Kita akan bantu mereka seperti untuk mencari peguam dan sebagainya," kata beliau.
Sementara itu Saifudin berkata, dakwaan terdapat sehingga 10,000 orang rakyat Malaysia masih berada di Thailand secara tidak sah atau lebih masa tidak berasas.
Menurutnya, berdasarkan penelitian awal, jumlah sebenar adalah jauh lebih kecil berbanding dakwaan itu.
"Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla sedang meneliti laporan media berhubung dakwaan itu.
"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kementerian melalui Konsulat Jenaral Malaysia telah membantu 2,439 rakyat Malaysia di negara itu yang berhasrat untuk pulang," katanya.
Beliau berkata, tidak dinafikan kemungkinan ada lagi yang tidak mendaftar atau berhubung dengan Konsulat Jeneral di sana namun angkanya mungkin kecil.