TUMPAT - Seorang mangsa kebakaran rumah di Kampung Dalam Rhu mendakwa hanya sempat mencapai sehelai kain pelikat yang digunakan untuk sembahyang sebelum enam kediaman di sini terbakar pada Sabtu.
Abdul Razak Deraman, 74, berkata, kejadian berlaku selepas dia selesai menunaikan solat Zohor.
Menurut Abdul Razak, ketika itu dia terdengar bunyi letusan api sebelum membuka tingkap untuk melihat apa yang berlaku.
"Saya nampak kepulan asap hitam dari rumah jiran dan mendapati rumahnya terbakar.
"Saya terus bergegas mencapai dompet berisi kad pengenalan dan sempat mengambil kain pelikat yang digunakan untuk sembahyang sebelum itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, kejadian pada jam 1.40 tengah hari tersebut turut memusnahkan rumah anak tirinya, Muslina Mohd Ismail, 48, yang terletak berdekatan.
Dia yang tinggal bersendirian mendakwa tidak sempat menyelamatkan barangan lain miliknya.
"Penduduk kampung cuba untuk memadamkan kebakaran namun api marak dengan pantas kerana cuaca panas dan berangin.
"Rumah kami berkedudukan rapat, semua mangsa di keenam-enam rumah yang terbakar hanya sempat menyelamatkan diri,” katanya.
Abdul Razak yang menjalankan perniagaan nasi itu berkata, reda dengan kejadian dan menerimanya sebagai ujian daripada ALLAH SWT pada bulan Ramadan.
Dia memaklumkan akan menumpang tinggal di rumah anak saudaranya di daerah sama buat sementara waktu.
"Semua milik ALLAH dan kejadian ini pun atas kehendak-Nya,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Ahmad Ramadan Johari, 25, berkata, dia menyedari kejadian apabila terhidu bau asap selepas menunaikan solat Zohor.
"Bila buka tingkap nampak api pada dinding rumah jiran menyebabkan saya menjerit untuk memberitahu jiran lain.
"Saya sempat capai beg galas kerana sangka ada pakaian di dalamnya rupa-rupanya baju berada di dalam mesin basuh yang turut hangus dalam kebakaran tersebut,” katanya.
Ahmad Ramadan berkata, dia tinggal di rumah tersebut bersama isteri, dua anak dan ibu bapanya namun ketika kejadian hanya berseorangan di rumah.
"Nasib baik orang lain semua keluar ke Kota Bharu dan tidak berada di rumah.
"Buat masa ini, kami menumpang di rumah jiran dan tidak dapat bayangkan bagaimana hendak menyambut Aidilfitri nanti tanpa ada tempat tinggal,” katanya.