JOHOR BAHRU - Polis akan memanggil jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem bagi membantu siasatan dalam insiden penyelam hilang ketika menjalani latihan di Pulau Tokong Sanggol di Mersing pada Rabu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan menjurus sama ada kecuaian berlaku semasa sesi latihan itu serta mengenai pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
"Kami akan siasat dari segi itu sebaik sahaja membuka siasatan walaupun tiga mangsa dijumpai (selamat).
"Buat masa ini mangsa-mangsa yang terselamat masih trauma (untuk disoal siasat) dan masih ada yang ditahan di wad untuk pemulihan. Sebaik sahaja mereka selesai (sudah pulih) kami akan ambil rakaman percakapan mereka," katanya kepada pemberita sempena program berbuka Ops Tambak di Angsana Johor Bahru Mall, pada Sabtu.
Kamarul Zaman berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sijil kelayakan dimiliki jurulatih berkenaan dan siasatan juga dilakukan sama ada prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi atau sebaliknya.
Rada Rabu, empat penyelam warga Eropah hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol.
Kristine, 35, merupakan mangsa pertama ditemui selamat berhampiran Pulau Tokong Sanggol dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam, pada Khamis.
Dua lagi mangsa, Adrian Peter Chesters, 46, yang merupakan warga British dan warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18, ditemui nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan pada jam 1 pagi, Sabtu.
Sementara mangsa terakhir, Nathan,14 difahamkan pada petang Sabtu, sudah meninggal dunia dan bapanya percaya mayat remaja itu hanyut ke perairan Indonesia.