TAWAU - Mayat yang ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan bilik sebuah rumah di Taman King Fook, Jalan Utara di sini, pada pagi Sabtu, dikenal pasti sebagai anggota polis berpangkat lans koperal.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mayat sudah di bawa ke Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat.
"Memang berlaku kebakaran di sebuah bilik di mana mangsa ditemui tetapi ketika polis tiba, pintu terkunci dan kita terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak bomba untuk masuk ke dalam.
"Mangsa adalah seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Difahamkan, mayat lans koperal berusia 35 tahun itu mempunyai kesan kecederaan pada kepala, dipercayai akibat tembakan selain turut ditemukan sepucuk senjata api dipercayai milik mangsa yang terletak bersebelahannya.
Diminta mengulas lanjut berhubung kesan tembakan itu, Jasmin berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.
"Itu masih dalam siasatan (kesan tembakan pada kepala) sebab bedah siasat pun belum dibuat.
"Cuma setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat atau jenayah," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, satu mayat lelaki ditemui rentung di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Taman King Fook, Jalan Utara
Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian.