PENGENDALI Everton, berharap momentum kemenangan skuad kendaliannya itu berterusan setelah berjaya menewaskan Manchester United 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), pada Sabtu.
Menurut Lampard, dengan baki lapan perlawanan yang perlu diharungi The Toffees musim ini, dia yakin kesebelasan pemain mampu menggalas tugas bagi memastikan kejayaan pasukan.
Malah dengan kelebihan perlawanan dilihat turut membuka peluang bagi Everton untuk terus mencatatkan kejayaan bagi melonjakkan kelab berkenaan pada kedudukan lebih baik.
"Walaupun kemenangan ini hanyalah merupakan kemenangan ketiga sejak saya mengemudi kelab ini mulai penghujung Januari lalu, namun saya harapkan agar ia berterusan.
"Apa pun, bagi saya kemenangan ini amat bermakna dan boleh katakan, saya sangat berbangga dengan kesemua pemain yang telah beraksi dengan cukup baik dengan mematuhi segala perancangan taktikal yang dirancang,” katanya.
Pada aksi berkenaan, pemain berusia 21 tahun, Anthony Gordon muncul wira Everton apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-27.
Justeru, Lampard mungkin menjadi pengurus paling gembira dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini hasil kejayaan berkenaan.
Malah, kemenangan berkenaan turut menyaksikan skuad The Toffess itu meraih 28 mata dan mula menjarakkan kedudukan dengan kelompok bawahan EPL ketika ini.
Justeru katanya, mahu memastikan kelab berkenaan dapat terus beraksi dalam saingan EPL, pada musim hadapan dan musim-musim seterusnya.
"Saya ada cita-cita besar dan juga perancangan terbaik untuk Everton... apa pun, ketika ini yang penting kami perlu terus mencatatkan kemenangan berbanding menyajikan permainan yang cantik kerana ia (permainan cantik), akan datang kemudian,” katanya.